Selangor menguatkuasakan larangan menghisap rokok, rokok elektronik dan meminum minuman keras di taman permainaan serta rekreasi.
SELANGOR

Rakyat sokong perluas kawasan larangan merokok

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 2 JAN: Cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memperluaskan lagi kawasan larangan merokok di negara ini terus mendapat sokongan orang ramai.

Penjawat awam, Wan Liyana Kamarudin, 32, berkata langkah itu melegakan banyak pihak terutama kaum ibu yang mempunyai anak kecil.

“Saya amat menyokong tindakan KKM, malah pada masa sama optimis lebih banyak lagi kawasan akan dijadikan sebagai larangan merokok,” katanya kepada SelangorKini.

Bagi peniaga, Mohd Khairul Mat, 30, dia akur cadangan kerajaan menetapkan beberapa kawasan tambahan seperti dobi layan diri dan hotel sebagai larangan merokok yang akan memberi impak positif.

“Keputusan ini mendatangkan kesulitan kepada perokok seperti saya, namun tidak dinafikan cadangan kawasan tambahan larangan merokok di dobi dan hotel memberi kesan baik kepada masyarakat”, katanya.

Seorang lagi penjawat awam, Ahmad Syafiq Othman, 30, berkata cadangan menjadikan beberapa kawasan sebagai larangan merokok membuktikan Kerajaan komited terhadap aspek kesihatan rakyat.

“Selepas dilaksanakan di premis makanan, cadangan kerajaan untuk memperluaskannya ke kawasan lain adalah tindakan terbaik,” katanya.

Sementara itu, pengusaha restoran, Rozmanyah Mustafa, 34, berkata beliau lega keputusan Kerajaan menguat kuasakan larangan merokok di premis makanan dan menyokong jika ia diperluaskan lagi.

“Sejak saya buka restoran awal pagi tadi hingga kini sudah tiada orang merokok, berbanding sebelum ini perokok tanpa segan silu melepaskan asap merata-rata,” katanya.

Terdahulu, KKM akan memperluaskan pewartaan kawasan larangan merokok dalam tempoh terdekat, membabitkan premis kedai dobi dan hotel, di negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, larangan itu ketika ini hanya tertakluk kepada sembilan jenis premis di tempat awam.

 

 


Pengarang :