GLOBAL

Sambutan tahun baru di Vietnam bertukar tragedi

HANOI, 2 JAN: Tahun baru yang disambut penuh meriah di seluruh negara bertukar tragedi, di Vietnam apabila sebanyak 147 kemalangan berlaku dalam tempoh empat hari (29 Disember 2018 hingga 1 Januari) 2019), yang meragut 110 nyawa dan mencederakan 61 orang.

Agensi Berita Vietnam yang memetik kenyataan Jawatankuasa Kebangsaan bagi Keselamatan Lalu Lintas berkata, secara purata, terdapat hampir 28 kematian setiap hari, lebih tinggi berbanding angka tahun lalu, iaitu 22.

Katanya, lalu lintas jalan raya menyumbang kepada majoriti kemalangan dengan 145 kes daripada 147 dan 109 kematian daripada 110 kes.

“Dua kes lagi membabitkan pengangkutan kereta api yang menyaksikan satu kematian dan satu cedera.

“Punca utama nahas ialah memandu laju, memandu di lorong yang salah, menukar lorong atau arah tanpa memberi isyarat, atau memandu di bawah pengaruh dadah atau mabuk, manakala kesalahan seperti tidak memakai topi keledar adalah kesalahan yang amat biasa dilakukan,” katanya.

Agensi berita terbabit turut berkata, anggota polis trafik menangani lebih 19,200 kes melanggar undang-undang, mengeluarkan saman bernilai 16.3 bilion VND (US$703,000), membatalkan lesen 1,000 pemandu dan mengimpaun lebih 2,800 kenderaan.

Berdasarkan laporan, pada hari pertama cuti itu, keadaan lalu lintas yang sesak berlaku di dua bandar raya terbesar, di negara berkenaan iaitu Hanoi dan Ho Chi Minh.

Sepanjang tempoh berkenaan, Jawatankuasa Kebangsaan bagi Keselamatan Lalu Lintas berkata, pihaknya menerima 81 panggilan telefon melaporkan perbuatan kenderaan yang membawa penumpang melebihi jumlah dibenarkan, mengutip bayaran lebih tinggi berbanding jumlah tertera pada tiket dan pelbagai jenis kesalahan lain, di lebuh raya.


Pengarang :