SELANGOR

Warga emas tunggu dua jam demi Jom Shopping CNY

OLEH NADIAH ZAMLUS

KOTA KEMUNING, 28 JAN: Hampir 20 warga emas dilihat sanggup menunggu hampir dua jam demi Program Jom Shopping sempena Tahun Baharu Cina (CNY) di Giant Kemuning Utama Mall, di sini, semalam.

Rata-rata daripada mereka menunggu seawal jam 8.30 pagi di sekitar kawasan pusat membeli-belah sedangkan program bermula pada jam 10.30 pagi.

Salah seorang daripadanya, Siew Fook, 70 berkata, beliau tidak sabar untuk menggunakan wang yang diberikan Kerajaan Negeri untuk membeli persiapan perayaan tidak lama lagi.

“Peluang begini hanya datang sekali sahaja dalam setahun, sebab itulah kami tidak sabar, terima kasih kepada Yang Berhormat (YB) kerana prihatin dengan orang tua seperti kami.

“Saya tidak sabar hendak beli makanan dan minuman, nanti boleh hidang kepada anak cucu yang datang ke rumah,” katanya kepada SelangorKini.

Hadir sama memeriahkan program berkenaan ialah Ahli Dewan Negeri Batu Tiga, Rodziah Ismail.

Rodziah berkata, seramai 453 warga emas di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga menerima bantuan Jom Shopping CNY berkenaan.

Katanya, setiap seorang penerima berpeluang membeli-belah barangan di Giant bernilai RM100.

“Saya tahu program ini amatlah dinantikan oleh mereka, saya berharap dengan bantuan sebegini ia dapat mengembirakan mereka di hari perayaan tidak lama lagi.

“Sebenarnya program ini juga dinanti saya kerana berpeluang berjumpa dengan pengundi kawasan, dan mereka sendiri berkesempatan untuk menceritakan pelbagai isu dan kisah kepada saya,” katanya.


Pengarang :