SELANGOR

Azmin yakin PAKATAN kekal di Semenyih

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SUBANG JAYA, 9 FEB: Pakatan Harapan (PAKATAN) diyakini mampu mengekalkan kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih meskipun wujud kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pas.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia dilihat berdasarkan prestasi cemerlang ditunjukkan PAKATAN sepanjang beliau memegang jawatan Dato’ Menteri Besar di Selangor.

Katanya, beberapa perkara berbangkit di kawasan berkenaan menjadi isu utama untuk ditangani PAKATAN demi meneruskan kemenangan parti itu.

“Ini masa untuk kita kembali dan terus bersama rakyat bagi memastikan sokongan pengundi berpihak kepada kita.

“Pembangkang mahu bentuk kerjasama, itu adalah tanggungjawab dan cadangan strategi mereka.

“PAKATAN sudah membuktikan bahawa pembangunan di Selangor memberi manfaat kepada semua rakyatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Hi Tea Pimpinan KEADILAN Bersama Srikandi KEADILAN, di Hotel Empire, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Selangor, Amirudin Shari; Timbalan Ketua Wanita KEADILAN, Dr Daroyah Alwi; Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Elizabeth Wong.

Pada masa sama, Mohamed Azmin menyatakan komitmen untuk berkampung di Semenyih bagi memastikan kemenangan berpihak kepada PAKATAN.

“Saya sudah sihat, badan saya bertambah ringan, jadi mudah untuk saya bergerak.

“Semenyih adalah sebahagian dari Selangor dan Selangor tetap di hati saya,” katanya.

Pilihan Raya Kecil DUN Semenyih akan diadakan pada 2 Mac ini berikutan kematian penyandangnya dari PAKATAN, Mohd Bakhtiar Mohd Nor, 11 Januari lalu.


Pengarang :