Selangorkini
GLOBAL NASIONAL

Brent susut AS$66.18 setong

SINGAPURA, 20 FEB: Harga minyak susut daripada paras kemuncak 2019 susulan peningkatan pengeluaran Amerika Syarikat (AS) dan jangkaan kelembapan ekonomi yang melemahkan usaha yang diketuai OPEC dalam mengurangkan bekalan.

Niaga hadapan minyak mentah AS, West Texas Intermediate (WTI) berada pada AS $55.84 setong pada 0126 GMT, susut 25 cent atau 0.5 peratus daripada penutup terakhirnya.

WTI mencecah paras tertingginya tahun ini iaitu AS$56.33 awal minggu ini.

Niaga hadapan minyak mentah Brent susut 27 cent atau 0.4 peratus kepada AS$66.18 setong selepas mencecah paras tertinggi 2019 iaitu AS$66.83 setong semalam.

Harga minyak mendapat sokongan daripada pemotongan bekalan yang diterajui oleh Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

Ahli OPEC dan pengeksport utama minyak mentah, Arab Saudi dijangka mengurangkan penghantaran minyak mentah ke Asia pada Mac, sebagai sebahagian usaha untuk mengetatkan pasaran.

OPEC termasuk bukan ahlinya seperti Russia bersetuju memotong bekalan sebanyak 1.2 juta tong sehari (bpd) tahun lalu bagi menangani lebihan bekalan yang terus meningkat.

“Kami menurunkan pengeluaran Arab Saudi sejajar dengan pengumuman dan kini negara ini dijangka menghasilkan kurang 10.31 juta tong bpd dalam tempoh tiga suku tahun 2019 seperti yang dipersetujui pada mesyuarat OPEC dan bukan OPEC pada 7 Disember,” kata bank Perancis, BNP Paribas dalam nota penyelidikan.

*Sumber: BHOnline/Reuters


Pengarang :