BERITA UTAMANASIONAL

Caj kesesakan ganti kutipan tol

PUTRAJAYA, 23 FEB: Kerajaan sudah memulakan proses rundingan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi lebuh raya, sebagai usaha menghapuskan bayaran tol secara berperingkat.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata, langkah itu bertujuan mengurangkan kos sara hidup pengguna lebuh raya, seperti terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan.

Katanya, ia membabitkan Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART.

“Dengan kejayaan pengambilalihan itu, kerajaan bercadang menghapuskan mekanisme kutipan tol sedia ada dan memperkenalkan caj kesesakan sebagai ganti.

“Melaluinya, pengguna lebuh raya hanya akan dikenakan bayaran caj kesesakan yang sama dengan kadar tol sedia ada untuk waktu puncak selama enam jam sehari,” katanya.

Katanya, kadar tol akan dihapuskan sama sekali pada waktu ‘off-peak’ antara jam 11 malam dan 5 pagi dengan penggunaan lebuh raya adalah percuma.

Kenyataan itu juga berkata, pengguna akan menikmati diskaun 30 peratus berbanding kadar tol sedia ada bagi penggunaan waktu biasa.

“Hasil kutipan caj kesesakan itu akan diguna pakai untuk menampung kos operasi dan penyelenggaraan lebuh raya serta bayaran pinjaman, manakala lebihannya akan disalurkan kepada satu dana pengangkutan awam, untuk meningkatkan kualiti pengangkutan awam seluruh negara.

“Lain-lain perincian berkenaan cadangan ini akan di umumkan Kementerian Kewangan pada masa yang sesuai,” katanya.

 


Pengarang :