NASIONAL

Dividen tinggi bukti KWSP serba boleh

KUALA LUMPUR, 18 FEB: Kadar dividen 6.15 peratus Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 2018 bagi simpanan konvensional, disifatkan pencapaian mengagumkan, yang tidak dapat dicapai kebanyakan syarikat.

Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, KWSP antara firma dana serba boleh yang berjaya dan mampu menahan cabaran di dalam serta luar negara.

“Kita perlu faham bahawa ekonomi kita semakin stabil, oleh itu apabila KWSP mampu membayar lebih lima peratus, ini membuktikan KWSP terus menjadi rumah dana yang serba boleh.

“Saya puji KWSP kerana dapat memberikan pendapatan stabil,” katanya kepada BERNAMA.

Katanya, prestasi KWSP lebih baik berbanding firma unit amanah lain, yang kebanyakannya dilihat mencatat pulangan negatif.

“KWSP sangat bijak dalam melaksanakan kepelbagaian. Mereka tahu untuk mengilirkan wang, sebagai contoh apabila prestasi aset antarabangsanya tidak menarik, mereka beralih kepada hartanah dan kembali kepada ekuiti tempatan,” katanya.

Pada masa sama, Nazri Khan berharap KWSP mempunyai kawalan risiko lebih baik ke atas aset bukan terasnya memandangkan dana simpanan asing itu kini beralih tumpuan kepada aset bukan tradisi seperti hartanah dan ekuiti swasta.

 


Pengarang :