BERITA UTAMASELANGOR

Tiada program sumbangan semasa PRK berlangsung

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 18 FEB: Tiada sebarang program berbentuk sumbangan dilaksanakan Kerajaan Negeri kepada rakyat, sepanjang berlangsungnya kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, segala program rasmi Kerajaan Negeri terutama berkaitan penyerahan sumbangan sudah tamat pada 15 Februari lalu.

“Mulai 16 Februari dan ke atas tiada lagi program berbentuk penyerahan sumbangan kerana kita tidak mahu menimbulkan sebarang persepsi bahawa kerajaan Pakatan Harapan membeli undi.

“Namun, jika ia membabitkan program rasmi Kerajaan Negeri dan ia sudah dirancang, saya akan hadir selaku Dato’ Menteri Besar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra sempena Sambutan Tahun Baru Cina 2019 Persatuan Hokkien Malaysia di Hotel Concorde, di sini hari ini.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kassim mengeluarkan kenyataan bahawa pemimpin kerajaan dibenarkan memberi sumbangan kepada masjid dan asnaf, namun tidak boleh memberi ceramah berbentuk politik.

Katanya, JAIS membenarkan mana-mana pemimpin kerajaan menyampaikan sumbangan atau bantuan dengan syarat ditetapkan.

“Sebagai contoh, Dato’ Menteri Besar boleh menyampaikan sumbangan baiki surau, sekolah atau masjid tetapi beliau tidak boleh memberi ceramah atau ucapan politik,” katanya.


Pengarang :