SELANGOR

Elak perceraian, jangan pendam masalah

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 3 FEB: Berikutan kes perceraian yang tinggi berlaku di Selangor sejak kebelakangan ini, masyarakat dinasihatkan supaya tidak memendam masalah yang mereka hadapi.

Ahli Dewan Negeri Permatang, Rozana Zainal Abidin berkata, sebaliknya masyarakat perlu meluahkan masalah kepada pihak bersesuaian.

“Apabila pasangan sama ada wanita atau lelaki memilih untuk pendam masalah, ia akan memudaratkan diri sekali gus potensi untuk bercerai agak tinggi.

“Bagaimanapun, seseorang itu harus berbalik kepada agama dan banyakkan terbabit dalam aktiviti kemasyarakatan supaya mereka tidak berasa tersisih atau tertekan,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, katanya, kebanyakan wanita mereka malu dan takut untuk meluahkan masalah kerana bimbang akan diperlekehkan masyarakat.

“Oleh itu, saya nasihatkan kepada wanita terutamanya untuk berani tampilkan diri berjumpa kaunselor atau Badan Bukan Kerajaan (NGO) bersesuaian yang boleh membantu menyelesaikan masalah dihadapi,” katanya.

Terdahulu, Ketua Hakim Syarie Selangor, Mohammad Adib Husain berkata, Selangor mencatatkan angka tertinggi dalam kes perceraian membabitkan umat Islam dengan 11,297 kes direkodkan pada 2014 diikuti Sabah (7,421 kes) dan Johor (5,871 kes).

Angka ini terus meningkat menjadi 63,463 kes jumlah cerai pada 2015 yang mencatatkan Selangor mendahului dengan 11,873 kes diikuti Sabah (8,272 kes) manakala Johor (4,700 kes).


Pengarang :