PUTRAJAYA, 19 Feb — Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran (dua, kiri) melancarkan Indeks Gaji Kebangsaan (National Wage Index – NWI) di Kementerian Sumber Manusia hari ini. Turut sama (dari kiri) Timbalan Ketua Setiausaha Dasar dan Antarabangsa, Datuk Kua Abun, Pengarah Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh, Wan Zulkfli Wan Setapa Timbalan Ketua Setiausaha Operasi Lim Eng Hock. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Kerajaan lancar Indeks Gaji Kebangsaan ukur upah, gaji

PUTRAJAYA, 19 FEB: Kerajaan hari ini melancarkan Indeks Gaji Kebangsaan (NWI) sebagai garis panduan bagi mengukur perubahan upah dan gaji pekerja, di pasaran buruh Malaysia.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran berkata, ia adalah satu daripada 11 inisiatif konsolidasi pasaran buruh di bawah Rancangan Malaysia ke-11 dalam bidang prioriti meningkatkan produktiviti, mendorong pewujudan kerja dan menaikkan struktur gaji.

Katanya, indeks yang pertama di negara itu boleh digunakan majikan sebagai panduan dalam menetapkan tahap gaji untuk pelarasan dan input kepada dasar sumber manusia mereka.

“Pekerja dan pencari kerja boleh menilai perubahan gaji mereka dengan trend pasaran buruh yang lebih luas serta dalam laluan kerjaya mereka,” katanya selepas melancarkan NWI, lapor BERNAMA.

Katanya, kerajaan boleh menggunakan NWI untuk memantau pelarasan gaji, sebagai input bagi menetapkan gaji dan menyemak gaji minimum untuk pertimbangan dasar.

Beliau berkata, NWI dibangunkan Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh berdasarkan tinjauan suku tahunan berkenaan maklumat dan pelarasan daftar gaji antara September 2016 hingga Jun 2018.

“Antara keputusan utama tinjauan itu menunjukkan gaji asas naik 8.2 peratus sepanjang lapan suku tahun dan kementerian akan menerbitkan NWI, pada setiap suku tahun serta terbitan akan datang ialah pada suku kedua 2019,” katanya.

Pada masa sama, Kulasegaran berkata, kerajaan akan memberi fokus kepada meningkatkan penyertaan wanita, pesara berusia lebih 60 tahun dan orang kurang upaya sebagai pekerja prospektif dalam kumpulan buruh.

“Kita tidak harus membiarkan bakat dan pengalaman pekerja lebih tua dibazirkan oleh kerana mereka boleh menyumbang banyak kepada pertumbuhan ekonomi,” katanya.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :