BERITA UTAMASELANGOR

MB sambut baik Karnival 3W, promosi khidmat Kerajaan Negeri

OLEH SHEEDA FATHIL

AMPANG JAYA, 10 FEB: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menyambut baik Karnival Wellness, Welfare, Women (3W) dalam mempromosi pelbagai bantuan dan khidmat ditawarkan Kerajaan Negeri kepada rakyat.

Beliau berkata, Karnival 3W yang julung kali dianjurkan itu adalah penambahbaikan daripada Karnival Sihat Selangor yang pernah dilaksanakan sebelum ini.

“Jika sebelum ini, Karnival Sihat Selangor lebih memfokuskan kesihatan namun Karnival 3W pula kita bukan sahaja menjenamakan tetapi menambah nilai kepada tiga aspek penting iaitu Wellness, Welfare, Women.

“Malah, ia bukan sekadar karnival sebaliknya adalah aktiviti mengumpul, menyampai dan menyebarkan maklumat berkaitan program serta aktiviti yang sedang dilaksanakan Kerajaan Negeri juga Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Karnival 3W di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), di sini, hari ini.

Turut hadir, EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud;  EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar merangkap Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya, Haniza Talha serta Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Hasrolnizam Shaari.

Pada masa sama, Amirudin berkata, beliau optimis Karnival 3W akan menjadi platform terbaik untuk pemimpin bertemu rakyat secara langsung, sekali gus menyampaikan maklumat dan penerangan berkenaan perkhidmatan disediakan Kerajaan Negeri.

“Saya optimis program ini menjadi medan interaksi antara pihak kerajaan dengan rakyat tempatan, dalam usaha kami menjadi kerajaan yang bukan sahaja mentadbir negeri tetapi juga menjadi kerajaan di hati rakyat.

“Justeru, saya berharap semua rakyat di sekitar MPAJ mengambil peluang untuk bertanya, mendapatkan pandangan mahupun input secukupnya daripada semua agensi kerajaan yang hadir pada hari ini,” katanya.

Terdahulu, MPAJ dipilih selaku tuan rumah bagi menjayakan pelancaran Karnival 3W dengan tema Sambutan Hari Kanser Sedunia.

Bermula dari jam 7 pagi hingga 10.30 malam, karnival itu turut diselitkan pelbagai aktiviti menarik antaranya program 10,000 Langkah, Slim Selangor, Forum Sihat Selangor dan beberapa pertandingan membabitkan kanak-kanak, wanita serta Orang Kelainan Upaya.

Program sebelah malam pula akan diselitkan dengan persembahan hiburan menampilkan selebriti tanah air.

Karnival itu juga akan menjelajah ke 11 pihak berkuasa tempatan lain, pada setiap bulan dengan tema berbeza berdasarkan sambutan hari penting, pada bulan berkenaan.

 


Pengarang :