SELANGOR

MB seru UA berperanan sebagai pusat reformasi

OLEH SHEEDA FATHIL

SERDANG, 20 FEB: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menyeru Universiti Awam (UA) di seluruh negara berperanan sebagai pusat reformasi terbaik kepada masyarakat sekitar.

Katanya, beliau optimis UA tidak hanya berperanan menganjurkan program dalam pagar universiti sahaja sebaliknya perlu bersifat lebih holistik.

“Segala gerak kerja atau program dilaksanakan universiti awam (UA) perlu bersifat holistik dan tidak terbatas dalam kawasan institusi itu sahaja.

“Komunikasi antara UA dan komuniti luar amat penting kerana daripada situ pelbagai penerangan dapat diketengahkan antara dua pihak terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Jelajah Maju Bersama Dato’ Menteri Besar di Universiti Awam 2019 di Universiti Putra Malaysia, di sini, semalam.

Pada masa sama, katanya, beliau menggesa gerak kerja itu perlu dilakukan oleh semua UA tidak kira sama ada bahagian pentadbir, pensyarah dan pelajar.

“Mungkin pihak universiti boleh mulakan gerak kerja itu di kawasan sekitar dahulu seperti kedai dan seterusnya diperluaskan ke lokaliti lain sama ada masjid, surau, serta sekolah,” katanya.

Terdahulu, Amirudin turut mengadakan Program Jelajah Maju Bersama yang kini diperluaskan ke peringkat universiti, bagi mendekati anak Selangor.

Jelajah itu secara rasmi membuka tirai, semalam dengan berkunjung ke UPM untuk menjelaskan program dilaksanakan Kerajaan Negeri.

Inisiatif itu juga memberi peluang kepada beliau untuk berinteraksi secara dekat dengan pihak universiti.


Pengarang :