BERITA UTAMASELANGOR

Menteri MITI puji Selangor berjaya tarik pelaburan terbesar

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 22 FEB: Kejayaan berterusan Selangor menarik pelabur serta merekodkan jumlah perdagangan tertinggi dipuji Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking.

Katanya, Kerajaan Negeri bukan sahaja mampu menarik pelabur asing, namun pada masa sama berjaya mewujudkan pelaburan bernilai tinggi serta membuka peluang pekerjaan lebih banyak kepada penduduk tempatan.

“Jadi mungkin selepas ini ada negeri lain yang boleh belajar dengan Selangor bagaimana mereka memperoleh kejayaan berkenaan.

“Pada saya itulah keindahan Malaysia, kita berkongsi kejayaan serta kemakmuran ini bersama-sama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika mengadakan kunjungan hormat kepada Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari bagi sesi lawatan kerja pertama beliau ke negeri ini di Bangunan SUK, hari ini.

Pada pertemuan yang sama, Darell turut menyertai mesyuarat bersama Amirudin; Timbalan Ketua Setiausaha MITI, Datin K Talagavathi; EXCO Pelaburan, Perindustrian, dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris.

Sehingga kini Selangor berjaya mencatat jumlah perdagangan sebanyak RM606.6 bilion pada tahun lalu, berbanding RM582 bilion pada 2017. Sementara nilai eksport pada tahun lalu mencecah RM257 bilion manakala import RM350 bilion.

Sementara itu, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri mahu pelaburan besar di Selangor turut mewujudkan nilai tambah kepada rakyat dan juga syarikat tempatan.

“Tidak ada gunanya sekiranya kita hanya berjaya menarik pelabur tetapi elemen sebegini gagal diterapkan.

“Oleh sebab itu Kerajaan Negeri akan memberi penumpuan kepada sektor elektrik dan elektronik, pengangkutan dan pembuatan makanan untuk diberdayakan bagi memberi nilai tambah kepada rakyat Selangor,” katanya.

 


Pengarang :