PBTSELANGOR

MPSJ keluar 88 notis kompaun sepanjang Januari

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SUBANG JAYA, 27 FEB: Sebanyak 88 notis tawaran kompaun dikeluarkan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) atas pelbagai kesalahan dalam operasi penguatkuasaan premis makanan, sepanjang Januari lalu.

Timbalan Yang Dipertuanya, Mohammad Zulkarnain Che Ali berkata, melalui pemeriksaan terhadap 206 premis, pihaknya turut mendapati 93 premis atau 45.15 peratus mendapat Gred B, manakala lima premis ditutup kerana mendapat Gred D.

“Kami mengenal pasti pemilik makanan tiada Sijil Latihan Pengendali Makanan, tiada suntikan antitaun (typhoid), gagal mengekalkan premis makanan dalam keadaan bersih, tidak memakai apron dan penutup kepala serta tidak menjaga kesihatan diri.

“Pemilik premis melanggar peraturan di bawah Undang-Undang Kecil Establishment Makanan (MPSJ) 2007 dan Undang-Undang Kecil Pengendali Makanan (MPSJ) 2007,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPSJ Bil.2/2019, di Bilik Mesyuarat Kenanga Aras 2, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, MPSJ akan terus mempertingkatkan usaha melaksanakan aktiviti penguatkuasaan ke atas premis makanan bagi memastikan premis terbabit mematuhi peraturan ditetapkan, khususnya daripada aspek kesihatan, kebersihan dan keselamatan.

Katanya, bagi premis makanan di Medan Selera MPSJ, Pihak Berkuasa Tempatan itu akan membatalkan penyewaan pengusaha premis berkenaan dan dibuka kepada penyewa baharu jika premis atau gerai terbabit masih mendapat Gred C dan D.

“Untuk rekod sepanjang 2018, sebanyak 1,743 notis pembersihan dan 867 notis tawaran kompaun keluarkan kepada pemilik premis makanan yang melanggar peraturan,” katanya.


Pengarang :