SELANGOR

Organisasi digalak laksana lebih banyak program CSR

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 22 FEB: Semua organisasi digalak untuk melaksanakan lebih banyak program berkonsep Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi membantu golongan kurang berkemampuan.

Ahli Dewan Negeri Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin berkata, pihaknya mengalu-alukan mana-mana organisasi yang mempunyai semangat untuk membantu golongan kurang bernasib baik.

“Walaupun banyak program kebajikan diberikan di bawah Kerajaan Negeri, kita sentiasa mengalu-alukan bantuan daripada organisasi atau mana-mana badan bukan kerajaan menghulurkan bantuan.

“Sekiranya ada antara organisasi berminat melaksanakan program CSR, kita membuka peluang untuk mereka berhubung secara terus dengan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) saya dan daripada situ kami akan membantu memberi maklumat mana-mana kawasan memerlukan bantuan,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 18 Februari lalu, Jamaliah mengedarkan serbuk susu Muraydale kepada 174 pelajar Tadika Pasti Little Ibnu Sina Kayu Ara dan Sekolah Kebangsaan Bandar Utama Damansara 2.

Sumbangan itu bertujuan membantu kanak-kanak kurang berkemampuan selain memastikan mereka mendapat faedah pemakanan yang mencukupi dalam kehidupan seharian.

PKM Bandar Utama itu menerima tajaan susu daripada syarikat Global GK Sdn Bhd yang sentiasa komited dalam aktiviti CSR untuk membantu keluarga miskin dan golongan anak yatim.


Pengarang :