GLOBAL

PBB: 537 kematian akibat Ebola di Republik Demokratik Congo

NEW YORK, 21 FEB: Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) melaporkan sejumlah 537 kematian dalam kalangan 844 kes Ebola di Republik Demokratik Congo (DRC) sejak Ogos tahun lalu.

Menurut laporan agensi berita China, Xinhua yang memetik kenyataan Stephane Dujarric, jurucakap Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, OCHA melaporkan pada Rabu bahawa Kementerian Kesihatan DRC minggu lalu memohon sejumlah AS$147 juta bagi menampung kos “semua aspek tindak balas (Ebola) selama enam bulan”.

“Setakat 18 Februari, sejumlah 844 kes dan 537 kematian telah dilaporkan sejak penularan wabak itu bermula pada Ogos tahun lalu,” kata Dujarric kepada pemberita semasa taklimat rutin, lapor BERNAMA.

“Sejumlah 278 orang telah sembuh daripada jangkitan Ebola.

“Kementerian Kesihatan (DRC), Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan rakan kongsi mereka terus memberikan respons kepada semua isyarat di kawasan terjejas, selain mempertingkat kesiapsiagaan di zon kesihatan tidak terjejas serta negara jiran,.

“Insiden keselamatan yang serius dan ketidakpercayaan masyarakat terus menghalang respons terhadap Ebola,” katanya.

Meskipun beliau tidak mengulas situasi di timur kawasan penularan wabak itu, Pusat Penyelidikan dan Dasar bagi Penyakit Berjangkit (CIDRAP) Universiti Minnesota berkata kes terkini “menekankan bahawa Katwa, sebuah bandar di timur DRC, kekal sebagai pusat penularan semasa Ebola.”

CIDRAP juga menyatakan bahawa sejak Ogos tahun lalu, lebih 80,000 orang di DRC dan negara jiran telah diberi vaksin.

Pusat itu turut melaporkan kebimbangan berhubung isu keselamatan susulan keganasan yang semakin meningkat di rantau berkenaan.


Pengarang :