PBTSELANGOR

MPK bersihkan rumah penghuni degil

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 21 FEB: Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengambil masa selama dua jam bagi membersihkan dua tan sampah dan barangan lusuh di sebuah rumah di Jalan Dato’ Dagang 17, di sini.

Pengarah Komunikasi Korporatnya, Norfiza Mahfiz berkata, ia susulan kedegilan pemilik rumah yang gagal membersihkan semua sampah dan barangan itu walaupun notis dikeluarkan sejak sebulan lalu.

“Pemilik rumah itu juga didapati sering mengelak apabila MPK ingin bertemu dengan mereka.

“Kita menerima aduan daripada jiran sekeliling terhadap perbuatan penghuni rumah sebelum mengeluarkan notis sejak sebulan lalu bagi membersihkan sampah dan barangan lusuh itu,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, katanya, MPK terpaksa membuat operasi pembersihan supaya tiada kejadian tidak diingini berlaku.

“MPK juga terpaksa memotong mangga pintu pagar rumah terbabit selepas didapati penghuni tiada di rumah dan enggan memberi bekerjasama.

“Kita terpaksa menggunakan jentolak bagi mengangkat sampah dan barangan lusuh dianggarkan seberat dua tan ke dalam lori sebelum dibuang ke tempat sepatutnya,” katanya.

Operasi itu dilakukan bermula pukul 9 pagi.

Pelbagai jenis timbunan sampah dan barangan lusuh diletakkan penghuni di anjung rumah mereka.


Pengarang :