SELANGOR

SIBS 2019 sasar transaksi jualan bernilai RM250 juta

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 26 FEB: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2019 disasar menjana transaksi jualan sebanyak RM250 juta sepanjang penganjurannya pada 10 hingga 13 Oktober depan.

EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim berkata, persidangan kali ketiga itu sebelum ini memperolehi nilai transaksi jualan sebanyak RM194.6 juta, pada tahun lalu.

Katanya, SIBS turut menjadi laluan masuk bagi pasaran ASEAN dengan menempatkan lebih daripada 600 juta pengguna serta lebih daripada 200 syarikat besar di peringkat global.

“Oleh sebab itu, Selangor terus memainkan peranannya sebagai pintu gerbang paling kompetitif ke ASEAN dan menjadi hab perdagangan global.

“Melalui persidangan kali ini, perniagaan tempatan dan antarabangsa dapat membina dan mengukuhkan kedudukan mereka di dalam negara ASEAN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media SIBS 2019 di Hotel Concorde di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris; Pengurus Besar, Majlis Teknologi Maklumat dan Edagang Selangor (SITEC), Loo Chuan Boon; Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Muhammad Yasir Yahya dan Pengarah SIBS, Ahmad Khairo Othman.

Chang Khim berkata, persidangan kemuncak yang dijalankan selama empat hari itu turut terdiri daripada empat komponen acara termasuk Ekspo Antarabangsa Selangor 2018 (SIE 2019) dan Persidangan Perniagaan ASEAN – Selangor.

Katanya, selain itu ialah Konvensyen Ekonomi Digital dan Bandar Pintar Selangor serta Ekspo Inovasi dan Penyelidikan & Pembangunan (R&D) Selangor.

“Orang ramai turut dipelawa untuk mendaftar dan menghadiri semua acara ini yang bertempat di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC),” katanya.


Pengarang :