BERITA UTAMASELANGOR

Sultan Selangor berkenan terima peruntukan RM42 juta Kerajaan Persekutuan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 21 FEB: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima peruntukan RM42.066 juta daripada Kerajaan Persekutuan kepada Selangor bagi tujuan pembayaran imbuhan imam, elaun guru KAFA dan guru takmir bagi tahun 2019.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menyerahkan sendiri peruntukan itu dalam satu majlis di Istana Bukit Kayangan Shah Alam, Selangor, hari ini.

Majlis itu diadakan sempena Majlis Menghadap Dr Mujahid Yusof dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, bagi menyembah maklum kepada Tuanku mengenai pendekatan semasa pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia.

Peruntukan tersebut memberi manfaat kepada 2,700 guru KAFA, 760 imam dan 142 guru takmir di Selangor.

Turut berangkat dalam majlis tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim dan wakil dari Majlis Agama Islam Selangor.


Pengarang :