NASIONAL

Tindakan biadap hina Yang di-Pertuan Agong – Fuziah

KUANTAN, 2 FEB: KEADILAN Pahang menyifatkan tindakan segelintir individu menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di laman sosial sebagai perbuatan biadap.

Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri, Fuziah Salleh yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, mereka yang melakukan perbuatan itu perlu dikenakan tindakan tegas.

“Perkara mengenai Yang di-Pertuan Agong ada termaktub di dalam Perlembagaan negara dan tidak seharusnya perkara ini dipersoalkan atau dihina, apatah lagi ia membabitkan institusi raja-raja.

“Saya menyokong tindakan tegas diambil ke atas mereka yang melakukan kesalahan itu, tapi dalam masa sama, ingin mengingatkan supaya tiada pihak mengambil tindakan sendiri serta gunakan saluran undang-undang yang ada,” katanya semasa ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Sumbangan Sempena Tahun Baharu Cina di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kelakuan beberapa individu yang didakwa menghina Sultan Abdullah di laman sosial, sehari selepas baginda melafaz sumpah dan menandatangani surat pengisytiharan memegang jawatan di Istana Negara, Khamis lalu.

Fuziah seterusnya mendakwa tindakan pembangkang dalam memainkan sentimen fobia DAP dan memutarbelitkan kenyataan termasuk yang berbentuk fitnah menyebabkan berlaku ketidakpuasan hati masyarakat Melayu terhadap pentadbiran Pakatan Harapan (PAKATAN).

“Sebagai contoh mereka membuat dakwaan DAP hendak menghapuskan institusi Raja dan Islam yang mana adalah fitnah. DAP sebagai sebahagian daripada PAKATAN menjunjung Perlembagaan negara yang sudah menyebut Islam sebagai agama rasmi dengan agama lain bebas diamalkan.

“Perkara ini tidak seharusnya dipersoalkan kerana pemimpin PAKATAN sentiasa mempertahankan Islam termasuk saya sendiri yang menjaga (portfolio) agama. Tugas saya untuk pastikan kedudukan itu terjaga,” katanya, lapor BERNAMA.

Fuziah juga menyifatkan tindakan memainkan isu berkaitan agama demi kepentingan politik adalah berbahaya kerana boleh menjejaskan keharmonian kaum sedangkan Malaysia adalah negara Islam contoh dalam hal terbabit kepada masyarakat antarabangsa.

Semalam, media melaporkan dapatan agensi perundingan Ilham Centre bersama Penang Institute yang mendakwa hampir 60 peratus masyarakat Melayu tidak berpuas hati dengan prestasi PAKATAN setelah menjadi kerajaan.

Dalam perkembangan lain, Fuziah yang juga Anggota Parlimen Kuantan berkata, pihaknya dalam perancangan mewujudkan bank makanan di sini, bagi membantu masyarakat sekitar yang kurang bernasib baik, mengambil contoh kejayaan pelaksanaan program itu di Pulau Pinang.

“Program ini membabitkan kerjasama pengurusan pasar raya besar di daerah ini yang mana mereka boleh menyumbang produk makanan yang hampir tarikh tamat tempoh ke pusat khidmat untuk diagihkan kepada penduduk kurang bernasib baik.

“Kerjasama ini adalah situasi menang-menang kerana sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR), tiada pembaziran dan menjaga kualiti produk manakala orang yang tidak bernasib baik boleh menikmati makanan yang mungkin jarang dibeli,” katanya.


Pengarang :