NASIONAL

Kerajaan akan gubal dasar ekonomi Melayu baharu

SHAH ALAM, 12 MAC: Kerajaan akan menggubal satu dasar ekonomi Melayu baharu dalam usaha mendepani cabaran ekonomi semasa.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali berkata, dasar terbabit akan berteraskan pertumbuhan, menjamin kesaksamaan serta perkongsian kemakmuran.

“Dasar ini akan mencerakinkan semangat inklusiviti dan nilai keadilan yang akan menyumbang kepada kekayaan untuk dikongsi bersama seluruh rakyat Malaysia berkonsepkan shared prosperity (perkongsian kemakmuran),” katanya dalam kenyataan media hari ini, dipetik MalaysiaKini.

Beliau berkata demikian sebagai mendukung kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menegaskan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) sentiasa membela hak dan kepentingan masyarakat Melayu dan Bumiputera.

Mahathir berkata demikian semalam selepas menghadiri perasmian Penggal Kedua Parlimen ke-14 oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, lawatan kerjanya ke Kelantan sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan, minggu lalu membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh hubungan kerajaan Persekutuan dan kerajaan Kelantan, selain menyuburkan semangat federalisme yang akan melonjakkan ekonomi rakyat khususnya masyarakat desa.

“Berangkat dari usaha ini, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi akan terus menggembleng usaha untuk mengangkat martabat warga Felda dan pekebun kecil yang sedang bergelut dengan masalah legasi pentadbiran yang lalu.

“Untuk maksud itu, kerajaan sedang memperhalusi inisiatif baharu yang lebih proaktif demi menjamin kemampanan sektor perladangan dan pertanian sekaligus meningkatkan pendapatan dan kuasa beli masyarakat desa,” katanya.

Timbalan Presiden KEADILAN itu juga berkata, kementerian di bawah jagaannya akan memulakan siri perbincangan dan libat urus (engagement) bersama pemegang taruh utama dalam sektor ekonomi negara seperti dewan perniagaan, anak syarikat kerajaan (GLC), badan bukan kerajaan (NGO) serta pakar ekonomi.

Mohamed Azmin berkata, ia bagi menerajui usaha ke arah modenisasi ekonomi berasaskan teknologi terkini serta berdepan dengan cabaran Revolusi Industri 4.0.

“Dengan berkat perpaduan rakyat yang rencam untuk menjayakan agenda ini, InsyaAllah, ekonomi Malaysia akan kembali gah dan mampu bersaing dalam pasaran global,” katanya.


Pengarang :