Masjid Al-Noor di Christchurch, New Zealand yang diserang hingga mengorbankan 51 nyawa pada 15 Mac 2019
NASIONAL

Kerajaan bantu keluarga mangsa ke New Zealand

KUANTAN, 16 MAC: Kerajaan akan membantu urusan perjalanan keluarga mangsa yang cedera dalam insiden keganasan di dua masjid di Christchurch, New Zealand, semalam, untuk ke negara itu bagi membolehkan mereka memberi sokongan kepada mangsa yang terbabit.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kerajaan amat mengambil berat kebajikan mangsa dan akan memastikan kesemua mereka mendapat rawatan terbaik selain bersedia membantu menanggung kos perubatan.

“Wisma Putra sedang berurusan dengan keluarga mereka kerana ada di antara mangsa yang cedera, anggota keluarga mereka seperti anak atau ibu bapa berada di Malaysia.

“Kita akan cuba bantu uruskan perjalanan mereka ke sana dan mendoakan ketiga-tiga rakyat Malaysia yang cedera sembuh serta tiada perkara lebih mudarat berlaku,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Sekolah Kebangsaan Indera Mahkota Utama, di sini hari ini.

Saifuddin turut mengesahkan setakat ini tiga rakyat Malaysia dilaporkan cedera dalam kejadian itu, manakala seorang lagi masih dilaporkan hilang dan belum dapat dikesan.

Mereka yang cedera ialah Mohd Tarmizi Shuib, 46, dari Kedah; Rahimi Ahmad, 39, dari Pulau Pinang dan Mohd Nazril Hisham Omar, 46 dari Kelantan, manakala seorang lagi yang masih hilang ialah Mohd Haziq Mohd Tarmizi, 17, iaitu anak kepada mangsa tembakan, Mohd Tarmizi.

“Saya difahamkan ketiga-tiga mereka berada dalam keadaan stabil dan akan menjalani pembedahan untuk mengeluarkan peluru berkenaan serta luka yang dialami.

“Seorang lagi anak Mohd Tarmizi iaitu Mohd Haris kini sedang dirawat di sebuah hospital kanak-kanak di sana kerana mengalami trauma ekoran kejadian itu.

“Sementara Mohd Haziq masih lagi tidak dapat dikesan. Saya difahamkan ketika kejadian ada saksi nampak dia lari bersama ayahnya, namun ayahnya cedera terkena tembakan… kita tidak tahu dia ada mana, harap dia selamat dan mungkin dia sedang berlindung di mana-mana,” katanya.

Berikutan kejadian itu, katanya kerajaan menghantar dua orang petugas dari pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Wellington iaitu seorang pegawai diplomatik dan seorang atase tentera ke Christchurch selain seorang pegawai kanan dari Wisma Putra bagi membantu.

Untuk rekod, terdapat lebih 1,000 rakyat Malaysia berada di Christchurch dan 208 mahasiswa di beberapa buah universiti di situ. Kesemuanya dilaporkan selamat.

Saifuddin yang juga Anggota Parlimen Indera Mahkota berkata, setakat ini kerajaan dimaklumkan oleh Duta Malaysia di New Zealand, Nur Izzah Wong Mee Choo bahawa keadaan di Christchurch kembali stabil.

–fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

Bagaimanapun katanya, pihak berkuasa di negara berkenaan menasihatkan penduduk supaya tidak keluar rumah buat sementara waktu kerana bimbang dengan keselamatan mereka.

Beliau juga akan menghubungi Timbalan Perdana Menteri New Zealand yang juga Menteri Luar, Winston Peters bagi menyampaikan simpati kerajaan Malaysia kepada negara itu dan rakyatnya yang terkorban dalam insiden yang disifatkan sebagai tindakan keganasan dahsyat.

Pada masa sama, Saifuddin berkata, tiada keperluan untuk kerajaan menghalang rakyat Malaysia ke negara itu buat sementara waktu.

“Setakat ini kita belum ada keperluan untuk ]berbuat demikian… sebab itu kita hantar atase tentera kerana dia lebih faham,” katanya.

Setakat ini pihak berkuasa New Zealand mengesahkan seramai 49 orang terkorban dalam insiden keganasan yang berlaku di dua buah masjid di Christchurch ketika umat Islam hendak menunaikan solat Jumaat dan lebih 20 lagi dilaporkan cedera. -BERNAMA

 


Pengarang :