KUALA TERENGGANU, 17 Mac — Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin (dua, kanan) beramah mesra dengan anggota Jabatan Bomba dan Perasmian Program Kempen Keselamatan Kebakaran bersama Perisma anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu hari ini. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

KPKT sasar 30% wanita sertai bomba

KUALA TERENGGANU, 17 MAC: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyasarkan 30 peratus daripada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia terdiri daripada kaum wanita.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, ketika ini anggota bomba wanita hanya kira-kira 200 orang daripada keseluruhan 14,000 anggota bomba, di seluruh negara dan jumlah itu hanya sekitar dua peratus sahaja.

“Sekarang ini terdapat lebih 3,000 kekosongan untuk anggota bomba, jadi saya harap lebih ramai wanita tampil untuk menjadikan bomba sebagai karier mereka dan memang ada ruang untuk mereka dalam kerjaya ini.

“Selalu saya sebut kepentingan anggota wanita dalam menyantuni mangsa yang trauma dan kejadian akibat bencana alam contohnya, memang kita perlukan sentuhan orang perempuan untuk hal sebegini.
“Untuk capai sasaran ini, kita perlukan perancangan yang rapi untuk menarik penyertaan wanita dalam bomba,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Keselamatan Kebakaran Bersama Suri peringkat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu di sini, hari ini.

Di Terengganu, terdapat lebih 700 anggota bomba dan hanya 13 orang adalah wanita.

Ditanya punca yang menyebabkan kurangnya penyertaan wanita dalam karier sebagai anggota bomba, Zuraida berkata, ia mungkin disebabkan salah tanggapan bahawa tugas itu adalah lasak dan sangat mencabar kemampuan wanita.

“Mungkin tanggapan awal di fikiran mereka hanya kerja untuk padam api, panjat, namun sebenarnya ada kerja tertentu yang perlukan orang perempuan. Jadi, ini harus diberikan penjelasan dan penerangan untuk kita rekrut lebih ramai orang perempuan.

“Namun, saya tidak nafikan anggota bomba wanita juga mampu laksanakan tugas anggota lelaki dan yang penting memang ada ruang untuk wanita berkecimpung dalam karier ini,” katanya.

Katanya, kerajaan sentiasa mengiktiraf wanita dalam kerjaya kebombaan berdasarkan kelayakan mereka dengan memberi contoh pelantikan Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon sebagai Pengarah JPBM Kedah yang juga wanita pertama di Malaysia menjawat jawatan itu. -BERNAMA

 

Kapsyen foto: KUALA TERENGGANU, 17 Mac — Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin (dua, kanan) beramah mesra dengan anggota Jabatan Bomba dan Perasmian Program Kempen Keselamatan Kebakaran bersama Perisma anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu hari ini.
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

 


Pengarang :