PBTSELANGOR

MBSA tawar diskaun kompaun 50% sepanjang Mac

OLEH UMIRAH IZRIN

SHAH ALAM, 7 MAC: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menawarkan potongan sebanyak 50 peratus kepada Orang Kena Kompaun (OKK), sepanjang Mac ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, kempen itu adalah inisiatif MBSA membantu dan menggalakkan OKK menyelesaikan tunggakan kompaun sebelum tindakan tegas dikenakan.

“MBSA turut memberikan pengurangan RM30 bagi kompaun di bawah Perintah Pengangkutan Jalan MBSA,” katanya dalam kenyataan.

Antara jenis kompaun yang diberi pengurangan adalah Undang-undang Kecil Kedai Gunting Rambut 1983, Undang-undang Kecil Taman (MBSA) 2005, Undang-undang Kecil Vandalisme (MBSA) 2005 dan Undang-undang Kecil Establisyemen Makanan (MBSA) 2007.

Pada masa sama, katanya, saluran bayaran terbaharu JomPAY turut diperkenalkan bagi memudahkan OKK membuat bayaran.

Shahrin berkata, OKK hanya perlu memasukkan biller code 6726, nombor kompaun pada ref1 dan nombor telefon pada ref2 serta seterusnya jumlah bayaran.

“MBSA menyeru orang ramai khususnya yang memiliki tunggakan kompaun supaya mengambil peluang menyelesaikan kompaun masing-masing bagi mengelak tindakan mahkamah atau sekatan urusniaga dikenakan,” katanya.


Pengarang :