SELANGOR

PBT junjung kasih pujian DYMM Sultan Selangor

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 MAC: Penarafan lima bintang diterima kesemua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor mendapat pujian Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menjunjung titah baginda, Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, pihaknya akan terus komited mempertingkatkan lagi sistem penyampaian untuk manfaat warga kota Shah alam.

Katanya, ia termasuk aspek pengindahan Bandar, perancangan Bandar, pembersihan dan kutipan sampah domestic, penyediaan infrastruktur awam dan aktiviti lain membabitkan komuniti.

“Pengiktirafan ini amat bermakna kepada MBSA Dan dengan pengiktirafan ini juga akan mendorong kakitangan untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Korporat Majlis Perbandaran Klang, Norfiza Mahfiz berkata, usaha menambah baik sistem penyampaian dan perkhidmatan kepada pelanggan sentiasa dilaksanakan pihaknya.

“Pencapaian penarafan lima bintang ini pastinya tidak mudah tanpa usaha gigih MPK.

“Malah, lebih manis usaha gigih bagi mencapai kejayaan dan anugerah sama ada di peringkat negeri, kebangsaan mahupun luar negara membuahkan hasil,” katanya.

Pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kedua, Dewan Negeri Selangor ke-14 Tahun 2019, Isnin lalu, Sultan Selangor menzahirkan ucapan tahniah kepada semua seluruh negeri atas penarafan itu.

Baginda bertitah, Selangor adalah antara tiga negeri yang berjaya mencatatkan prestasi 100 peratus memperoleh penarafan itu.

Selangor mempunyai 12 PBT iaitu Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Majlis Bandaraya Shah Alam serta Majlis Perbandaran Klang, Subang Jaya, Sepang, Selayang juga Ampang Jaya dan Kajang.

Selain itu, Majlis Daerah Kuala Selangor, Sabak Bernam, Kuala Langat dan Hulu Selangor.


Pengarang :