SELANGOR

Pelantikan PeBT, Kerajaan Negeri ambil pandangan semua

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 25 MAC: Berlakunya kelewatan dalam pelantikan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) disebabkan Kerajaan Negeri mengambil pandangan semua pihak bagi memastikan ahli berkaitan memenuhi kriteria ditetapkan.

EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, Kerajaan Negeri perlu menerima pandangan dan maklum balas yang berbeza dari setiap Ahli Dewan Negeri dan Ahli Majlis berkenaan.

Katanya, sekiranya isu kelewatan tidak dapat diselesaikan, Kerajaan Negeri akan mengambil langkah untuk menyokong nama yang dicadangkan Ahli Majlis berdasarkan kriteria PeBT.

“Kaedah temuduga ini digunakan untuk membuat pemilihan dan penilaian berkualiti supaya mereka yang dipilih adalah terdiri daripada bakal pemimpin berkredibiliti, berkarisma dan berkepimpinan.

“Justeru itu, segala dasar Kerajaan Negeri dapat disampaikan ke peringkat akar umbi dengan lebih efektif dan komprehensif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan dikemukakan Ahli Dewan Negeri Balakong, Wong Siew Ki berhubung PeBT di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, Kerajaan Negeri turut menambahbaik proses pemilihan dan pelantikan Pengerusi (PeBT) Selangor bagi penggal 2018/2020.

“Melalui temuduga itu, seramai 217 Pengerusi PeBT bagi sesi 2019/2020 sudah dilantik berkuatkuasa 1 Januari, lalu.

“Berikutan itu, proses temu duga kedua sedang berlangsung dari 18 Mac hingga 30 Mac ini untuk mengisi kekosongan 71 pengerusi yang belum dilantik,” katanya.

Sementara itu, katanya, Kerajaan Negeri turut bercadang menerima belia dari jurusan Diploma Belia Pembangunan Kerja di Universiti Putra Malaysia untuk dilantik dalam PeBT pada masa akan datang.


Pengarang :