NASIONAL

Rangka inisiatif khas M40 miliki rumah siap Mei

CYBERJAYA, 9 MAC: Rangka inisiatif khas yang diperkenalkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memudahkan golongan sederhana (M40) memiliki rumah, dijangka siap Mei ini.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya kini dalam proses meneliti cara membantu golongan itu dengan menyediakan rumah mampu milik berdasarkan pendapatan.

Katanya, proses merangka inisiatif berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama beberapa agensi berkaitan.

“M40 adalah ‘extension’ (sambungan) daripada program B40, cuma M40 ini terbahagi kepada dua kategori iaitu kategori atasan dan bawahan.

“Kategori berpendapatan isi rumah atasan iaitu RM5,000 hingga RM10,000, dan kategori bawahan RM3,000 hingga RM5,000,” katanya kepada pemberita pada majlis penutup kempen global #KitaSemuaMaryam, di sini hari ini.

Kempen anjuran Gabungan Wanita Malaysia untuk Al-Quds dan Palestin yang bermula pada 28 Februari sehingga semalam, bagi menyediakan biasiswa pendidikan kepada sekurang-kurangnya lima rakyat Palestin dalam kalangan negara.

Pada 7 Mac lalu, Zuraida melaporkan KPKT bakal memperkenalkan inisiatif atau skim khas bagi memudahkan M40 memiliki kediaman sendiri.

Beliau dipetik berkata, kerajaan bukan sahaja prihatin terhadap golongan berpendapatan rendah (B40) tetapi juga M40 yang dilihat turut berdepan cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat. –BERNAMA


Pengarang :