NASIONAL

Selepas hambur kata-kata kesat, fitnah pada TPM, Rozi minta maaf

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 12 MAC: Ahli Dewan Negeri Tendong, Kelantan, Rozi Muhamad membuat permohonan maaf secara terbuka kepada nitizen di media sosial facebook ekoran kata-kata kesat yang dihamburkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi tular selepas dikongsi penyokongnya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Kawasan Pasir Mas itu turut mengaku tidak menyemak kesahihan berita diterimanya sebelum menulis komen berunsur kata-kata kesat terhadap Wan Azizah.

“Dengan rasa bersalah dan rendah hati saya memohon maaf dan menarik balik kenyataan pada ‘posting’ yang saya ‘print screen” kenyataan Datuk Seri Dr Wan Azizah (kerana) setelah saya menyemak status berita berkenaan ia jelas tidak benar sama sekali.

“Kelemahan saya menerima berita tersebut adalah satu kesilapan sikap saya yang tidak berhati-hati dan tidak cermat dalam menapis berita ini. Terima kasih,” tulisnya pada status yang dimuat naik di akaun facebook miliknya, petang semalam.

Bagaimanapun, permohonan maafnya itu menerima lebih 1,200 reaksi balas nitizen yang rata-rata tidak berpuas hati dengan kata-kata kesat yang dilemparkan sebelum itu.

“Itulah sibuk sangat dengan facebook… segala dikutip. Lebih baik jalankan tanggungjawab sebagai Yang Berhormat sudahlah, bantu kerajaan dalam penyelesaian masalah. Banyak masalah yang belum selesai.

“Jangan sibuk duduk main facebook saja, nak makan pun tengok-tengoklah, jangan silap makan. Jangan asyik selak kain orang sahaja, kena selak kain sendiri jugak,” tulis Moemog Wahab.

Mujahid Mahdi pula menulis, walaupun Rozi telah meminta maaf tetapi beliau tidak dapat mengawal ‘kerosakan’ akibat daripada fitnah yang dimulakannya.

“Kau ini asyik buat fitnah sahaja. Ya, kau dah minta maaf tetapi dah berapa banyak pos kau orang share ke grup whatsap, dia orang share yang kau fitnah sahaja, yang kau minta maaf dia orang tak share, dah berapa ramai percaya fitnah kau. Agak-agaklah nak berpolitik pun, hidup di dunia ini bukan lama mana pun, akhirat sana selama-lamanya.

“Benci mana pun pada seseorang, semak dahulu sebelum sebar. Tak tahulah kalau kau boleh tidur tenang lepas ini. Ramai orang kau kena minta maaf dan jelaskan kau buat fitnah,” tulisnya.

Ahmad Ghaazi pula berkata, “Lain kali ambil berita tengok dulu sumber. ‘Basic thing’, kan dah malu sendiri,” tulisnya.

Permohonan maaf Rozi itu turut menjadi tular apabila mendapat 460 perkongsian setakat ini.


Pengarang :