PBT SELANGOR

Skuad Prihatin PUSPANITA MPSJ santuni anak yatim

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

PUCHONG, 29 MAC: Skuad Prihatin PUSPANITA Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengadakan kunjungan kasih ke Rumah Kebajikan Baitul Hidayah bagi menyantuni lebih 20 anak yatim perempuan, di sini.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, program pertama kali diadakan sejak penubuhan skuad itu bertujuan mendekatkan anggota PUSPANITA dengan masyarakat.

Katanya, ia selaras hasrat Kerajaan Negeri iaitu ‘Selangor Maju Bersama’ serta ke arah mewujudkan bandar mesra Wanita pertama, di Malaysia.

“Program kali ini lebih istimewa kerana ia bersifat sukarela, segala perbelanjaan dan sumbangan adalah kutipan anggota skuad itu sendiri.

“Kita berharap program sebegini dapat diteruskan, sekali gus berusaha mencapai aspirasi Kerajaan Negeri dan Persekutuan,” katanya ketika berkunjung ke rumah kebajikan terbabit.

Antara aktiviti dijalankan ialah gotong-royong mencuci dan mengemas seluruh kawasan rumah serta demonstrasi membuat kek cawan.

Skuad disertai 40 orang itu turut membantu membaikpulih dan menyumbang kelengkapan untuk dua buah kabin rumah yang digunakan sebagai kelas ulang kaji pembelajaran.

Pada masa sama, PUSPANITA juga menyumbangkan sejumlah RM4,045 kepada Baitul Hidayah.

Sementara itu, Guru Besar Baitul Hidayah, Noraini Abdul Aziz berkata, pihaknya gembira di atas kehadiran skuad terbabit yang turut menghulurkan bantuan.

“Kami mengucapkan jutaan terima kasih kerana sudi hadir dan memberi sumbangan terutama rumah kabin.

“Sebelum ini, anak-anak hanya guna ruang asrama untuk makan belajar dan tidur tetapi bila ada kabin ini, ada ruang untuk mereka belajar, jadi ruang asrama tidak terlalu serabut,” katanya.

 


Pengarang :