SELANGOR

Angin berpusar tumbangkan pokok besar-mangsa ribut

KUALA LUMPUR, 29 MAC: Angin berpusar berserta hujan lebat hampir setengah jam menumbangkan beberapa pokok dan menghempap lima buah rumah di Batu 11 Jalan Gombak, di sini lewat petang semalam.

Mangsa Mazenah Ahmad, 58, berkata ketika kejadian, dia bersama seorang anaknya berada di rumah, sempat melihat melalui jendela, angin berpusar seperti puting beliung menumbangkan pokok dan tiang elektrik.

“Angin sangat kencang dan saya nampak hujan berwarna putih sangat lebat, sehingga menumbangkan beberapa pokok berhampiran rumah saya dan adik saya.

“Ketika itu, kami tidak dapat berbuat apa-apa selain berdoa dan salah seorang anak saya sempat melaungkan azan kerana ketakutan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui, di sini hari ini.

Dalam kejadian petang semalam, lapan orang dilaporkan cedera dalam insiden pokok tumbang yang menghempap lima rumah dan kini dirawat di Hospital Selayang, Hospital Orang Asli Gombak dan Hospital Kuala Lumpur. -BERNAMA


Pengarang :