LANGKAWI, 27 Mac — Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah (empat, kiri) berkenan mencemar duli ke Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) edisi ke-15 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) hari ini. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
SELANGOR

Sultan Selangor berkenan berangkat ke LIMA’19

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 28 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan berangkat ke Langkawi sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19).

Selangor Royal Offical dalam satu kenyataan memaklumkan, baginda berangkat bersama Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Selain melawat ke ruang pameran, baginda berkenan menyaksikan pertunjukan aeroangkasa bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Sebagai Kepten Yang Dipertua Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tuanku juga berkenan melawat ke Pameran Segmen Maritim di Resort World Langkawi,” kata kenyataan itu.

LIMA’19 yang berlangsung dari 26 hingga 30 Mac itu dijangka akan menerima lebih 240,000 pelawat termasuk 42,000 delegasi perdagangan.

Pameran yang mula dianjurkan 28 tahun lalu itu bertujuan memperkenalkan Langkawi sebagai destinasi pelancongan utama Malaysia ke mata dunia.

Sebanyak 104 aset kapal dan maritim serta 103 pesawat terbabit dalam pameran statik dan persembahan.

Daripada jumlah itu, 60 peratus adalah pesawat tentera dan agensi keselamatan, manakala 40 peratus milik komersial dan awam.


Pengarang :