GLOBALSUKANKINI

UCL: Liverpool singkir Bayern, Barca menang mudah

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 14 MAC: Liverpool melenyapkan kritikan pelbagai pihak dengan mempamerkan aksi terbaik apabila menyingkirkan Bayern Munich 1-3, di Allianz Arena awal pagi tadi untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Tanpa sebarang jaringan pada perlawanan pertama di Anfield, Sadio Mane membuka jaringan pertama buat Liverpool, pada minit ke-26 apabila tenang mengawal hantaran jauh Virgil Van Dijk dan memperdaya penjaga gol Bayern, Manuel Neuer, sebelum mudah melambungkan bola ke gawang tuan rumah.

Bayern kembali bangkit menceriakan penyokong sendiri apabila menyamakan kedudukan 1-1, pada minit ke-39 menerusi jaringan sendiri Joel Matip yang tertampan hantaran Serge Gnabry.

Bersambung babak kedua, Van Dijk memberikan kelebihan buat The Reds dengan gol kedua apabila menanduk masuk sepakan penjuru James Milner, pada minit ke-69 bagi kedudukan 1-2.

Tuan rumah cuba untuk bangkit tetapi disiplin pertahanan Liverpool yang merantai pergerakan penyerang Bayern, Robert Lewandowski, menyukarkan mereka mencari gol penyamaan.

Sebaliknya, skuad bimbingan Jurgen Klopp membunuh sisa perjuangan pendahulu Bundesliga itu dengan gol ketiga, pada minit ke-84 apabila Mane sekali lagi menanduk masuk hantaran Mohamed Salah bagi kedudukan 1-3.

Kejayaan Liverpool itu sekali gus menyaksikan empat kelab daripada Liga Perdana Inggeris; Manchester United, Manchester City dan Tottenham Hotspurs berjaya menempatkan diri di peringkat suku akhir UCL musim ini.

Dalam satu lagi perlawanan, Barcelona mudah membenam Lyon 5-1 di Nou Camp dengan Lionel Messi menjadi tunjang utama kejayaan apabila menyumbang dua gol.

Barcelona akan bersama FC Porto, Juventus dan Ajax Amsterdam dalam undian suku akhir yang akan berlangsung Jumaat ini.

Kredit Foto: UEFA Champions League


Pengarang :