SELANGOR

YRMS buka peluang belia sertai sukarelawan

OLEH UMIRAH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 25 MAC: Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) membuka peluang kepada belia untuk menyertai sukarelawan bagi program Bengkel Self-Discovery yang bakal diadakan pada 27 April ini.

Melalui posting YRMS di Facebook, Bengkel Self-Discovery adalah inisiatif serta memberi fokus terutamanya kepada pelajar Tingkatan Lima yang kurang mahir dalam bidang akademik tetapi mempunyai kemahiran dan bakat tersembunyi.

“Sukarelawan akan menjadi fasilitator untuk aktiviti berkumpulan melalui dua modul iaitu modul Pembangunan Peribadi dan pendedahan kepada modul Pendidikan, Latihan, Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET).

“Individu yang mempunyai pengalaman dan bekerja dalam bidang pengurusan digalakkan untuk memohon,” katanya.

Difahamkan, bengkel itu bakal diadakan di Kolej Antarabangsa INPENS (INPENS), bermula jam 8 pagi sehingga 5 petang.

Pada masa sama, taklimat sukarelawan bakal dijalankan di pejabat YRMS, Shah Alam pada 19 April jam 10 pagi.

Terdahulu, inisiatif itu dizahirkan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku penaung Diraja YRMS, sejak 2003.

Mereka yang berminat boleh mendaftar di Facebook rasmi YRMS dan mendapatkan maklumat lanjut.

 


Pengarang :