RENCANASELANGOR

Anak Selangor cipta plastik ‘ghaib’

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 11 APR: Cukup mengagumkan! itulah yang boleh digambarkan apabila anak jati Selangor berjaya menghasilkan plastik boleh ‘ghaib’ dalam air kurang dari dua jam.

Lebih menarik apabila air yang mempunyai kandungan plastik itu masih selamat untuk alam sekitar memandangkan ia diperbuat daripada batang kelapa sawit.

Kejayaan itu adalah hasil usaha gigih Mohd Suhaidi Jaapar dan isterinya, Norazwa Mustapha melalui Syarikat Palm Fiber Sdn Bhd.

Inovasi berkenaan sememangnya cukup bermakna apabila pencemaran plastik sudah menjadi wabak yang berbahaya kepada hidupan laut dan manusia.

Setiap hari, berjuta-juta plastik digunakan manusia dan akhirnya akan dibuang ke tapak pelupusan sampah atau hanyut ke laut.

Sedangkan plastik itu hanya mampu reput dalam tempoh 20 hingga 100 tahun mengikut kajian Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan Amerika Syarikat.

Pengurus Pemasaran Palm Fiber, Norazwa Mustapha berkata, plastik yang dihasilkan syarikatnya itu sudahpun memasuki pasaran Singapura dan dijadikan beg dobi di kalangan pengusaha hotel negara republik berkenaan.

Katanya, peka dengan kegunaan harian, pihaknya turut membekalkan dua jenis plastik.

“Ini memandangkan Malaysia mempunyai kekerapan hujan yang agak tinggi, jadi, syarikat kami turut menghasilkan plastik yang boleh reput kurang dalam tempoh seminggu.

“Oleh itu ia sesuai digunakan untuk mengisi barang tanpa pengguna perlu bimbang ia akan reput dengan cepat,” katanya kepada SelangorKini.

Palm Fiber adalah salah satu peserta Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2019 yang berlangsung Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), pada 3 hingga 6 April lalu.

Norazwa berkata, bukan mudah untuk melawan pencemaran plastik kerana ia digunakan dalam semua kegunaan harian sebagai perabot, kenderaan dan yang paling aktif penggunaannya berkaitan pembungkusan makanan.

Katanya, bagaimanapun plastik mesra alam sekitar itu sudah dipasarkan ke Kelantan, Negeri Sembilan dan Melaka itu turut menjalani kajian dan penyelidikan selama setahun melalui Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

“Tetapi itu bukanlah halangan, kita perlu terus mendidik masyarakat dengan nasihat dan juga tindakan seperti penggunaan pembungkusan ‘biodegradable’ sebegini.

“Malaysia yang turut terkesan dengan pencemaran plastik di lautan, mestilah bersungguh-sungguh mendidik masyarakat tentang pencemaran plastik, termasuk isu berkaitan alam sekitar lain seperti perubahan cuaca, ancaman kepelbagaian biologi dan pencemaran bahan kimia,” katanya.

 

 


Pengarang :