SELANGOR

Aplikasi PKNS BizPoint bantu usahawan akses program terkini

OLEH UMIRAH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 5 APR: Selaras dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melancarkan aplikasi PKNS BizPoint bagi memperluaskan capaian pelanggannya.

Ketua Pegawai Korporatnya, Siti Zubaidah Abd Jabar berkata, aplikasi itu adalah inovasi Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU) PKNS bertujuan membantu usahawan sekali gus mempromosikan program pembangunan keusahawanan.

“Menerusi aplikasi ini, pengguna berpeluang mengakses program terkini serta mendapatkan info berkaitan pakej sewaan ruang pejabat yang disediakan PKNS BizPOint.

“Pada masa sama, ia memudahkan pengguna untuk mencari bagunan PKNS BizPoint dengan hanya menekan butang lokasi di dalam aplikasi berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis pelancaran aplikasi berkenaan di Bangunan PKNS BizPoint di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail dan turut dihadiri Pengurus Komunikasi Korporat PKNS, Ishak Hashim.

Siti Zubaidah berkata, pengguna boleh memuat turun aplikasi PKNS BizPoint bagi pengguna telefon pintar android manakala pihaknya dalam usaha meluaskan capaian bagi pengguna iOS.

Katanya, aplikasi itu turut menyediakan kemudahan bilik seminar yang lengkap dengan internet berkelajuan tinggi, ruang jamuan, dan ruang solat dengan kadar sewa yang berpatutan.

“Kami yakin melalui aplikasi ini, ia mampu menarik minat lebih ramai golongan usahawan kerana ia lebih mudah dan cepat.

“PKNS BizPoint turut menyediakan kemudahan pejabat maya atau dikenali Pejabat (VIO by PKNS) disewa secara bulanan bermula serendah RM150 yang dilengkapi dengan penyambut tetamu, nombor telefon dan bilik mesyuarat kepada golongan usahawan Bumiputera yang baru memulakan perniagaan.

“Bagi merialisasikan asprirasi Kerajaan Selangor, saya berharap inisiatif yang disediakan itu disambut baik masyarakat terutamanya golongan usahawan kecil dan sederhana,” katanya.


Pengarang :