SELANGOR

Bazar Usahawan Radia promosi produk, tarik pengunjung

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 13 APR: Radia, pembangunan bersepadu bernilai RM1.6 bilion yang terletak di Bukit Jelutong menjadi tuan rumah program ‘Bazar Usahawan Radia’.

Julung kali diadakan, bazar berkenaan adalah usahasama pemaju, Sime Darby Properties dan UEM Sunrise Berhad serta badan mikrokredit, Yayasan Hijrah Selangor.

Ketua Operasi Kumpulan (Pembangunan Perbandaran) Sime Darby Properties, Dato’ Wan Hashimi Wan Ahmad Amin Jaffri berkata, kerjasama dengan pihak Hijrah itu membuka peluang usahawan tempatan mempromosikan produk dan kepakaran mereka.

“Sebagai sebuah syarikat hartanah yang mengambil berat tentang komuniti, kami sentiasa cuba melakukan yang terbaik untuk menyokong pembangunan bakat dan perniagaan warga tempatan.

“Radia sangat sesuai untuk dijadikan tapak bazar sulung ini kerana ia terletak di pusat bandar dan berdekatan dengan laluan utama bagi penduduk Bukit Jelutong serta orang awam.

“Kami mengalu-alukan kehadiran orang ramai ke kawasan ini yang terbentuk melalui inspirasi kedua-dua pemaju. Gabungan kepakaran syarikat ini bertujuan untuk membangunkan kawasan ini,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Pengarah Wilayah Tengah 1 UEM Sunrise Berhad, Zulkifli Garib berkata, program berkenaan bertujuan untuk menarik orang ramai berkunjung ke galeri jualan dan melihat pembangunan yang dirancang.

Katanya, ia sebagai satu langkah bagi mempromosikan kawasan pembangunan itu yang terdiri daripada perumahan, perdagangan, pejabat, gaya hidup dan pusat hiburan memenuhi keperluan segera serta jangka masa panjang.

“Kami sentiasa berazam untuk menyumbang kepada ekonomi kreatif Bukit Jelutong dan meningkatkan gaya hidup masyarakat sekeliling sekitar Lembah Klang.

“Ini adalah salah satu tujuan mengapa kami memilih untuk bekerjasama dengan Yayasan Hijrah Selangor iaitu bagi menyediakan saluran yang sesuai untuk usahawan mempamerkan produk dan membantu mempromosikan jenama tempatan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dari masa ke masa bagi memberi peluang usahawan Hijrah berniaga di kawasan mereka lain.

Terdapat kira-kira 30 peniaga termasuk kenderaan saji menyertai program usahawan itu antaranya peniaga makanan, pakaian dan barangan spa dari jam 10 pagi hingga 5 petang.

Antara aktiviti lain ialah Dupas Supa, urut terapi, rekfleksologi dan cabutan bertuah. Turut disediakan perpustakaan bergerak.


Pengarang :