‘Cita Rasa Timur Tengah’ tema bufet Ramadan SACC tahun ini | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Hafizan Taib

Norway

Wartawan

Zareef Muzammil

‘Cita Rasa Timur Tengah’ tema bufet Ramadan SACC tahun ini

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 17 APR: Bersempena kehadiran bulan puasa tidak lama lagi, Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) muncul dengan bufet Ramadan bertemakan ‘Cita Rasa Timur Tengah’ bermula 11 Mei hingga 3 Jun ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nasrudin Abu Bakar berkata, tema itu diinspirasikan daripada bufet Ramadan SACC iaitu Nuansa Palestin pada 2013 selepas berjaya menambat hati ramai pengunjung.


Katanya, bagi memastikan keaslian rasa dan kelazatan makanan hidangan Timur Tengah, pihaknya membawakan khas Chef Arab, Chef Mohamad Saeranpoor Hoosein untuk bersama berganding bahu dengan kepakaran chef mereka.

“Kita menyediakan hidangan utama iaitu Nasi Kambing Kebuli yang disediakan menggunakan pelbagai herba dan rempah ratus sebagai bahan untuk diperap pada kambing sebelum dipanggang perlahan bagi memastikan kelembutan daging yang enak.

“Beberapa hidangan khas Timur Tengah lain disediakan seperti Kebab Ayam Irani, Sup Harira, Tabbouleh, Tahina dan Ganoush (masakan terung) serta pencuci mulut kegemaran ala Timur Tengah iaitu Qatayef yang mempunyai inti krim berkacang dan sering disajikan ketika berbuka puasa di Palestin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Ramadan Buffet 2019 di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain; Ketua Pegawai Operasi PKNS, Norita Mohd Sidek dan Pengasas Rizq Ar-Rahman Charitable Labuan Foundation, Assila Emir serta Fatima Syeda Bughadadi.

Selain sajian Timur Tengah, Nasrudin berkata, pengunjung boleh menikmati masakan tradisi Melayu seperti Rendang Negeri Sembilan, Ayam Percik, Asam Pedas Tetel, Lala Cili Padi, Singgang Ikan Tongkol, Daging Goreng Berlado dan sebagainya.

“SACC juga menyediakan gerai makanan yang menyajikan Laksa Utara, Apam Lenggang, Aneka Goreng-Goreng dan Sup Utara,” katanya.

Kesemua pakej bufet ditawarkan dengan hanya RM88+ untuk dewasa dan RM44+ untuk kanak-kanak (tujuh hingga 10 tahun), manakala kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah dijamu secara percuma.

Bagi pelanggan korporat, harga Pakej Korporat ditawarkan bermula RM70+ dengan jumlah minima tetamu seramai 80 orang termasuk ruang khas untuk tetamu.

Sesuai dengan unjuran Islam untuk memperbanyakkan amal ibadah, Nasrudin berkata, pihaknya mengambil inisiatif melaksanakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang memberi peluang kepada pengunjung untuk berbuka sambil beramal.

Katanya, setiap baucar bufet Ramadan yang dijual dengan harga RM88+, RM1 akan disalurkan bersama sumbangan lain kepada Tabung Kebajikan Gelandangan iaitu ‘Food For Homeless’ membabitkan kerjasama Rizq Ar-Rahman.

Justeru, pengunjung yang berminat membuat tempahan awal, boleh menghubungi SACC di talian 03-55118858 atau layari laman sosial Facebook: SACCOfficialnew dan Instagram: shahalamconventioncentre

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next