KOTA TINGGI, 12 April — Lebih 10 buah rumah di Kampung Lepau, dekat Pengerang, di sini mengalami kerosakan pada siling dan dinding dipercayai kesan daripada kejadian letupan dan kebakaran di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) awal pagi tadi. — fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Insiden Pengerang: MB bawa cadangan penduduk ke Mesyuarat EXCO

KOTA TINGGI, 16 APRIL: Kerajaan Johor akan membawa cadangan penduduk kampung berdekatan projek Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), terutama yang terjejas dengan letupan dan kebakaran di situ baru-baru ini, ke mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) untuk dibincangkan.

Menteri Besar Johor, Dr Sahruddin Jamal berkata, kerajaan negeri mengambil maklum kebimbangan dan cadangan penduduk yang terkesan dengan insiden itu termasuk yang menyuarakan hasrat untuk berpindah.

“Berhubung sebarang isu, sama ada soal pemindahan, semua kita akan bawa ke MMK dan berbincang juga dengan Petronas serta pihak berkaitan, penyelesaian terbaik yang boleh diambil,” katanya ketika berucap di Masjid Kampung Lepau, di sini, semalam.

Katanya, kerajaan negeri akan cuba membantu penduduk yang terjejas sebaik mungkin dan meminta supaya mereka bersabar.

Pada masa sama, Dr Sahruddin turut berharap Petronas membuat “engagement” bersama penduduk supaya memahami masalah dihadapi mereka terutama yang tinggal berhampiran dengan projek berkenaan.

Kampung Lepau, yang terletak kira-kira satu kilometer dari projek berkenaan adalah antara yang terjejas akibat insiden letupan dan kebakaran di kompleks berkenaan, pada 12 April lalu.

Kediaman penduduk turut mengalami kerosakan susulan insiden berkenaan termasuk siling jatuh, retak pada dinding rumah dan pintu kaca pecah.

Kampung itu mempunyai 67 rumah dan lebih 100 penduduk. -BERNAMA


Pengarang :