Kes Najib: UMNO Pulau Pinang, UPKO akui terima RM1 juta | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Hafizan Taib

Kes Najib: UMNO Pulau Pinang, UPKO akui terima RM1 juta

KUALA LUMPUR, 23 APR: Mahkamah Tinggi di sini, yang mendengar kes perbicaraan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, hari ini diberitahu bahawa Umno Pulau Pinang telah menerima wang RM1 juta dari ibu pejabat parti itu pada 2015.

Saksi ke-13 pendakwaan, Ahmad Sahar Shuib, yang merupakan Setiausaha Eksekutif Umno Bahagian Pulau Pinang berkata, wang itu diperoleh selepas membuat permohonan bertulis kepada parti untuk tujuan pentadbiran dan kebajikan.

Beliau berkata demikian pada hari ketujuh perbicaraan Najib, 66, yang berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.


Dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Saifuddin Hashim Musaimi, Ahmad Zahar berkata, beliau turut mendrafkan surat permohonan untuk mendapatkan sumbangan itu.

Muhammad Saifuddin: Dari manakah sumber kewangan badan perhubungan (parti)?

Ahmad Zahar: Dari ibu pejabat Umno Malaysia.

Muhammad Saifuddin: Bagaimana sumbangan itu didapati?

Ahmad Zahar: Melalui permohonan bertulis yang dihantar oleh Presiden Umno Bahagian Pulau Pinang Allahyarham Datuk Seri Zainal Abidin Osman kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Muhammad Saifuddin: Siapa yang menulis surat permohonan itu?

Ahmad Zahar: Surat itu saya yang drafkan sebelum diserahkan kepada Datuk Seri Zainal untuk semakan dan untuk dicetak dan dihantar kepada ibu pejabat.

Muhammad Saifuddin: Berapakah jumlah permohonan yang dibuat dalam surat tersebut?

Ahmad Zahar: Dalam surat permohonan dibuat sebanyak RM2 juta tetapi hanya menerima RM1 juta.

Sementara itu, ketika menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdulllah, Ahmad Zahar berkata sudah menjadi kelaziman bagi pihaknya untuk memohon peruntukan daripada ibu pejabat Umno Malaysia setiap tahun kerana tidak mempunyai sumber lain dan hanya bergantung kepada ibu pejabat Umno Malaysia.

Saksi itu juga berkata sumbangan digunakan untuk membuat pembayaran seperti gaji kakitangan serta disalurkan kepada program kebajikan seperti bantuan kepada mangsa bencana dan anak yatim.

Katanya lagi, wang itu juga digunakan untuk pendidikan pelajar cemerlang serta aktiviti keagamaan seperti program-program masjid pada bulan Ramadan.

Pada prosiding sama, saksi ke-15 yang merupakan Bendahari Agung Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Putatan memberitahu mahkamah bahawa pihaknya juga telah menerima cek bernilai RM1 juta daripada Najib, iaitu pada Februari 2015.

Datuk Seri Dr Markin @ Marcus Mojigoh, yang juga Ketua UPKO Putatan, berkata cek yang diterima itu adalah bagi menjalankan program parti termasuk pelbagai aktiviti kemasyarakatan di Sabah.

“Sebelum ini, pihak kami telah mengadakan mesyuarat bersama BN (Barisan Nasional) untuk memohon bantuan dengan agenda membantu rakyat.

“Pada masa itu, kita tiada sumber kewangan, jadi kami beritahu kepada Datuk Seri Najib yang kemudian memberikan sumbangan tersebut,” kata bekas Anggota Parlimen Putatan itu.

Muhammad Shafee: Adakah UPKO juga menggunakan dana itu mengadakan klinik perundangan secara percuma?

Marcus: Ya ada, biro perundangan.

Muhammad Shafee: Menolong untuk mendapatkan hak berkaitan tanah?

Marcus: Ya betul.

Muhammad Shafee: Dalam bidang Pendidikan juga?

Marcus: Tak, tapi kami jalankan kursus keusahawanan kepada ibu tunggal

Muhammad Shafee: Najib setuju untuk beri dana tapi ada syarat?

Marcus: Tiada syarat tapi kita senaraikan apa yang kita akan buat.

Menurutnya lagi, wang itu juga dibahagikan kepada setiap cabang parti (UPKO) untuk menjalankan program yang telah dirancang termasuk melawat pesakit terlantar, memberi sumbangan berupa cermin mata kepada warga emas dan kerusi roda untuk OKU (orang kelainan upaya).

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok.

SUMBER: BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next