NASIONAL

Tangani tindakan melampau EU – Azmin

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 APR: Kementerian berkaitan perlu menangani segera tindakan melampau Kesatuan Eropah (EU) yang menghalang pemasaran kelapa dan minyak sawit daripada Malaysia.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal itu sebagai salah satu usaha meningkatkan harga komoditi kelapa sawit yang rendah ketika ini.

“Harga komoditi kelapa sawit di luar bidang kuasa kerajaan. Ia ditentukan pasaran antarabangsa. Ketika ini ia amat rendah.

“Kita maklum EU melancarkan bukan sahaja kempen tetapi propaganda melampau menghalang pemasaran kelapa dan minyak sawit dari negara ini.

“Maka, kementerian yang bertanggungjawab bukan sahaja perlu mengambil tindakan defensif tetapi juga ofensif menjawab semua tuduhan dilemparkan beberapa negara maju hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temubual bersama Astro Awani di slot Agenda Awani: Menjelang Setahun Malaysia Baharu, malam ini.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, peladang dan pekebun khususnya generasi muda disaran meneroka teknologi baharu bagi meningkatkan hasil dan produktiviti.

“Kita perlukan rancangan jangka masa panjang. Saya sudah mencadangkan supaya peneroka tidak terlalu bergantung kepada hasil sawit.

“Dengan teknologi terkini, Revolusi Perindustrian 4.0, robotik, dron dan pelbagai teknologi canggih, peladang atau pekebun dalam kalangan generasi muda boleh menggunakan pakai teknologi ini sebagai usaha meningkatkan produktiviti,” katanya.


Pengarang :