Selangorkini
NASIONAL

Lima kementerian cari formula atasi isu orang tengah

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUCHONG, 18 APR: Jawatankuasa khas membabitkan lima kementerian akan merangka agenda bersepadu bagi mengatasi isu orang tengah dalam memasarkan produk pertanian dan perikanan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, hal itu kerana kedua-dua sektor terbabit antara yang paling terkesan dalam isu berkenaan.

“Sekarang ini semua Ketua Setiausaha di Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertanian, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dah Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sedang rangka agenda untuk dijadikan terma bagi berbincang serta mengambil satu keputusan termasuk isu orang tengah.

“Selepas itu, barulah peringkat menteri adakan mesyuarat dan dalam tempoh dua bulan ini kita dapat merumus perkara besar serta mengatasi isu dibincangkan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pecah Tanah Agromall Puchong di Pusat Operasi FAMA Puchong, di sini, hari ini.

Salahuddin berkata, rantaian pasaran produk perikanan adalah paling panjang sebelum tiba kepada pengguna akhir, sekali gus memberi kesan kepada pendapatan nelayan dan harga di pasaran.

Katanya, perkara itu tidak wajar berlaku dan kerajaan akan mencari jalan memendekkan rantaian pemasaran melalui satu kaedah yang akan ditetapkan kemudian.

“Antara cadangan yang akan dibincangkan nanti termasuk mengenakan lesen terhadap orang tengah selain isu pendatang asing yang turut memainkan peranan dalam rantaian pemasaran,” katanya.


Pengarang :