SASTERA

Mall Milik Kita Milik Mall

Oleh Aliaa Alina

Hani melangkah kepenatan selepas hampir dua belas jam dia bekerja di Mall itu. Suasana di Mall bingit dengan muzik Latin yang dipasang kuat untuk menghiburkan pengunjung Mall yang tidak putus-putus masuk melalui pintu utama. Dia melihat jam, baru pukul sebelas malam. Patutlah ramai yang masih datang ke Mall, malam masih muda lagi rupanya.

Kalau ikutkan hati, dia juga mahu berlibur di dalam Mall namun dia sudah penat berdiri melayan kerenah pelanggan yang datang ke kedai. Lagipun, kredit untuk dia terus berhutang sudah sampai ke hadnya. Dia terlalu banyak berhutang sehingga dia telah dilarang oleh pegawai pemerintah untuk menambah hutangnya.

Sebaik sahaja dia duduk di kerusi monorel, telefon pintar segera dikeluarkan untuk mengetahui perkembangan terkini tentang hal-hal dunia. Kebanyakan berita melaporkan tentang upacara perasmian bagi pembukaan Mall yang keseratus di kota raya itu.

Hani bertepuk tangan gembira, berita ini menunjukkan ekonomi negara semakin pesat membangun. Seperti yang diajar oleh Pemerintah, Mall adalah lambang kemodenan dan kemajuan negara itu. Malah delegasi Pemerintah pernah membuat kenyataan bahawa pedalaman Afrika harus membina Mall jika mereka mahu negara Afrika maju. Ruginya apabila cadangan itu mendapat kecaman hebat daripada Pemerintah negara lain.

“Hani…” sapa seseorang kepadanya

Hani terkejut lalu dia terus mengangkat kepala kerana sudah berbelas-belas tahun dia menggunakan monorel, inilah pertama kali ada orang yang menegurnya.

Hani mencebik apabila individu yang ada di hadapannya adalah sahabat lama yang sudah dibuang oleh masyarakat. Senang sahaja mahu mengenali manusia buangan ini, selalunya mereka memakai baju, kasut dan telefon yang tidak berjenama.

Kerana mereka ini kononnya menolak budaya konsumerisme yang berlebihan dan mereka juga golongan yang paling kuat menentang pembinaan Mall di kota raya itu. Disebabkan pemberontakan yang telah dilakukan, Pemerintah telah melarang golongan ini untuk memasuki Mall dan gerakan berfahaman Super Mall pula memanggil mereka ini sebagai manusia gasar.

“Kau sihat Hani?” sapa sahabat lamanya lagi.

“Perbuatan kau ni sangat tidak beradab, Sahabat,” tegur Hani lantas matanya kembali tertumpu ke skrin telefon.

“Maaf, aku tidak berniat untuk jadi biadab. Boleh aku tahu apa silapnya?” soal sahabatnya untuk mendapatkan kepastian.

“Tengoklah sekeliling kau. Manusia yang beradab tidak akan menegur orang lain sebaliknya mereka akan buat hal masing-masing,” ujarnya lalu menjeling ke sebelah. Di dalam monorel itu, tiada sesiapa yang bercakap antara satu sama lain kerana mata mereka sentiasa melekat pada skrin telefon pintar masing-masing.

“Maafkan aku,” mohon Sahabat ikhlas. “Aku tegur kau sebab dah lama tak jumpa.”

Hani tersenyum tawar lalu dia menyimpan sebentar telefon untuk melayan karenah aneh sahabatnya.

“Aku sihat je. Pergi kerja balik kerja, hujung bulan bayar hutang. Awal bulan buat hutang baru. Macam manusia yang normal. Kau pula?” soal Hani pula sekadar untuk berbasa-basi.

“Aku bekerja sebagai penjual idea. Kalau ada orang beli idea, adalah duit. Kalau orang minta percuma, laparlah aku,” balas Sahabat mengeluh namun bibirnya masih tersenyum.

“Kau bagi percuma? Mana ada benda percuma dalam dunia ni. Sebab itulah kau nampak…” ayatnya tergantung dan dia memandang atas bawah penampilan sahabatnya.

“Kau nak kata miskin ke?” soal Sahabat. “Memang aku nampak miskin tapi sekurang-kurangnya aku tak berhutang dengan sesiapa.”

Hani menjuih mulut terasa, “Kalau kau jenis hidup tak mahu berhutang, baik tak payah jadi manusia.”

“Memanglah berhutang tu dah jadi macam satu keperluan tapi aku memilih untuk menjauhinya,” balas sahabatnya tenang.

Perbualan mereka terhenti seketika apabila sekumpulan pelajar masuk ke dalam monorel itu. Tangan kanan mereka sedang memegang telefon manakala tangan kiri pula menjinjit beg-beg barangan berjenama yang baru dibeli di Mall.

Salah seorang daripada mereka membuka balutan gelas kacanya. Cebisan buku lama yang digunakan sebagai pembalut terus digumpalnya untuk dibuang. Sahabat lama Hani segera bangun dan mendekati pelajar sekolah itu untuk meminta helaian buku lama tersebut.

Pelajar itu tersengih, “Kalau saya bagi kertas ini, apa yang saya akan dapat?” soalnya kepada Sahabat.

Hani tersentak mendengar soalan itu. “Eh kau ni dik. Kau memang nak buangkan sampah tu, bagi je lah,” katanya dengan suara yang tinggi.

“Kalau ada permintaan, maknanya benda boleh dijual. Itukan asas pembelajaran di sekolah kak,” balas pelajar itu sinis.

Hani mahu berbalas kata namun Sahabat segera mencengkam bahunya sebagai isyarat pertengkaran itu harus dihentikan.

“Saya bagi nasi lemak ini sebagai pembayaran untuk kertas itu,” ujar Sahabat lalu dia memberi makanannya demi sehelai kertas lama yang sudah keronyok.

“Kau ni kenapa nak sangat sampah tu?” soal Hani kehairanan apabila melihat sahabatnya melipat kemas kertas itu lalu dimasukkan ke dalam beg galasnya.

“Sampah bagi kau, harta bagi aku,” balas Sahabat selamba. “Lagi satu, kau jangan marah budak-budak tu sebab tak salah pun caranya. Kita semuakan sudah diajar oleh Pemerintah bahawa semua benda harus dijual dan perlu dibeli.”

“Memanglah budak tu tak salah prinsip tapi kertas tu memang dia nak buang kan?” Pertikai Hani yang berang dengan sifat berkira pelajar itu.

“Hani, sekolah terpaksa dibina di dalam Mall kerana tanah lebih berharga jika dibangunkan Mall baru. Mall milik kapitalis dan sekolah sudah menjadi sebahagian daripada dunia itu. Segala-galanya berputar mengeliling duit sahaja sekarang ini,” ujar sahabatnya lantas membuatkan dia terus terdiam.

Hani mengalihkan pandangan ke luar monorel dan dia hanyut memandang lampu sorot di Mall-Mall yang beroperasi selama 24 jam sebagai satu perkhidmatan untuk memudahkan hidup masyarakat.

Timbul perasaan kurang senang kepada Mall ketika itu namun semangat bangga diri terhadap modenisasi membuatkan perasaan itu terus kabur. Hani kembali berpegang teguh dengan prinsip kepentingan Mall di dalam kehidupan.

Seperti yang pernah disebut oleh guru sejarahnya dahulu, “Mall bukan sekadar sebuah bangunan konkrit bersifat materialistik sahaja. Mall ini tarafnya seperti Pantheon di zaman Rom ataupun Taj Mahal bagi negara India. Mall merupakan suatu lambang yang menunjukkan kita ini adalah masyarakat yang maju, moden dan yang paling penting sekali, masyarakat yang bertamadun. Kesimpulannya, Mall adalah sebuah identiti rasmi bagi kita, masyarakat dan negara ini.”


Pengarang :