BERITA UTAMASELANGOR

MB teruskan tradisi santuni penduduk sempena Ihya Ramadan

OLEH SHEEDA FATHIL

GOMBAK, 28 APR: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mengambil peluang menyantuni penduduk di lima rumah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua bersempena Program Ziarah Kasih Ihya Ramadan 2019, di sini, hari ini.

Beliau berkata, program yang sudah menjadi tradisi itu juga bertujuan melawat beberapa penduduk sekitar yang ditimpa sakit selain beramah mesra bersama mereka.

Katanya, sumbangan turut dihulurkan kepada penduduk antaranya barangan berbentuk keperluan asas seperti peralatan dapur, lampin dewasa dan sedikit wang tunai.

“Hari ini, saya mengambil peluang menziarahi beberapa rakan yang banyak membantu saya sebelum ini dan kini kebanyakan mereka terlantar sakit dan tidak boleh menjalani kehidupan secara normal.

“Semoga dengan sumbangan dihulurkan ini dapat meringankan beban mereka terutama bersempena menyambut kedatangan Ramadan,” katanya ketika ditemui pada majlis itu.

Terdahulu, Amirudin turut meluangkan masa menunaikan solat Asar dan jamuan petang bersama penduduk sekitar di Masjid An Nur Kampung Wira Damai, Batu Caves.

Seusai solat, Amirudin menunggang motosikal sendiri bersama beberapa penduduk dan wakil Pejabat DUN Sungai Tua untuk pergi ke lima rumah berhampiran kawasan itu bagi menghulurkan bantuan.

Mengulas berkenaan perkembangan bangunan empat tingkat Blok F Flat Taman Keramat Permai yang terjejas susulan keretakan, Amirudin berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan.

“Kita tengok keputusannya sama ada esok atau lusa sebab buat masa sekarang belum ada sebarang keputusan dibuat,” katanya.

 


Pengarang :