NASIONAL

Mesyuarat bincang pencapaian setahun PAKATAN 3 Mei

OLEH NORHAYATI UMOR

PUTRAJAYA, 22 APRIL: Input pencapaian setahun pentadbiran Pakatan Harapan (PAKATAN) akan dibincangkan dalam mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada 3 Mei ini.

Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, menerusi mesyuarat itu, semua pandangan dan maklum balas akan diserahkan.

“Bagaimanapun, saya tidak boleh mengulas lanjut kerana tidak mahu mendahului mesyuarat itu.

“Kita tunggu dan ia akan diumumkan selepas mesyuarat itu nanti,” katanya yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ketika ditemui pada Majlis Dialog bersama Media, di kementeriannya, di sini.

Saifuddin Nasution berpandangan pencapaian dan kejayaan PAKATAN diklasifikasikan mengikut tiga kategori iaitu sudah dilaksanakan, dinilai semula dan tidak boleh dilaksanakan.

“Dalam manifesto PAKATAN, ada beberapa perkara yang berjaya dibuat antaranya menghapuskan faedah hutang peneroka menerusi pembentangan Kertas Putih FELDA.

“Selain itu, pembatalan senarai hitam peminjam Perbadanan Tabung Pinjaman Tinggi Nasional (PTPTN) dan agenda reformasi berparlimen.

“Manakala, contoh kita belum laksanakan seperti pembayaran pinjaman PTPTN bergaji RM4,000 ke atas,” katanya.

Pada masa sama, Saifuddin berkata, PAKATAN sentiasa komited kepada usaha merangka dasar dan program meringankan kos sara hidup rakyat.

“Kami tidak pernah hilang fokus. Beberapa pesanan sentiasa menjadi panduan dan saya lihat dalam tempoh setahun ini, fokus utama kita adalah merangka dasar dan program ke arah melegakan isu kos sara hidup,” katanya.


Pengarang :