PBTSELANGOR

MPSJ belanja RM75 juta untuk pembersihan, pengurusan sisa pepejal

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUBANG JAYA, 16 APR: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) membelanjakan kira-kira RM75 juta bagi perkhidmatan pembersihan dan pengurusan sisa pepejal setiap tahun.

Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan berkata, jumlah itu adalah 30 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan pihak berkuasa tempatan itu.

“Perbelanjaan ini boleh dijimatkan sekiranya kita sama-sama mengubah sikap dan mentaliti masyarakat dengan meningkatkan amalan kita semula.

“Selain itu, sikap mementingkan kebersihan juga harus dipupuk dalam masyarakat sejak di bangku sekolah lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Pelancaran Program Bestari MPSJ 2019 di ruang legar Pusat Membeli Belah Summit USJ di sini, hari ini.

Noraini berkata, sekiranya penjimatan kos pengurusan sisa pepejal dapat dijimatkan, MPSJ boleh menyalurkan perbelanjaan kepada perkara lain yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Katanya, perkhidmatan pembersihan dan pengurusan sisa pepejal adalah satu isu penting dan sering mendapat perhatian masyarakat di Subang Jaya.

Pada tahun lalu, sebanyak 8,227 daripada 29,346 atau 28.03 peratus aduan awam yang diterima MPSJ membabitkan isu kebersihan, pembuangan dan pelupusan sisa, pencemaran alam sekitar serta kesihatan persekitaran.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)


Pengarang :