Adib mungkin dalam keadaan separa sedar waktu ditarik – Saksi | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Hafizan Taib

Adib mungkin dalam keadaan separa sedar waktu ditarik – Saksi

SHAH ALAM, 16 APR: Mahkamah Koroner di sini hari ini diberitahu Muhammad Adib Mohd Kassim mungkin dalam keadaan separa sedar sewaktu ditarik keluar daripada van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ketika insiden rusuhan berhampiran Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, tahun lepas.

Bekas pakar perunding kanan forensik dan patologi Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Prof Dr Shahrom Abd Wahid, 62, berkata keadaan itu berlaku atas dua faktor iaitu Muhammad Adib terkejut dengan serangan tersebut atau mangsa mengalami kesakitan yang terlampau.

Beliau pada masa sama berkata anggota bomba itu juga mungkin tidak berdaya untuk melawan individu yang menariknya.


“Mungkin dia sedar ketika ditarik, bergerak tetapi dia tidak melawan, meronta-ronta. Tiada reaksi,” katanya ketika memberi keterangan di Mahkamah Koroner pada hari ke-27 prosiding inkues dijalankan.

Beliau berkata demikian apabila ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Hamdan Hamzah tentang keadaan anggota bomba itu ketika diseret.

Saksi ke-29 itu berkata anggota bomba tersebut berkemungkinan diseret dan bukti terdapat di bahagian punggung seluar celoreng yang dipakai Muhammad Adib.

Beliau berkata kesan debu kotoran yang melekat pada seluar juga boleh membuktikan mangsa diseret.

“Lihat seluar, ada kotoran dan kesan seretan. Fabrik juga berbulu-bulu dan ada benang jahitan putus,” katanya yang turut memeriksa secara teliti seluar celoreng Muhammad Adib.

Muhammad Adib yang juga anggota EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lepas dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lepas di Institut Jantung Negara.

Inkues bagi menentukan punca kematiannya bersambung esok.

SUMBER: BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next