SUKANKINI

Pemain golf profesional negara meninggal dunia di China

KUALA LUMPUR, 7 APRIL: Pemain golf profesional negara, Arie Irawan Ahmad, dilaporkan meninggal dunia dalam bilik hotel penginapannya atas sebab semula jadi.

Persatuan Golf Profesional Malaysia (PGAM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, laporan rasmi berhubung perkara itu masih belum selesai.

Arie Irawan, 28, berada di China untuk menyertai Kejohanan Sanya, acara kedua dalam Siri jelajah PGA-China 2019.

“Jelajah PGA dan Persatuan Golf China berdukacita atas pemergian salah seorang ahli kita dan merakamkan ucapan takziah kepada isteri Allahyarham, Marina, dan kedua ibu bapanya, Ahmad dan Jeny.

“Apabila sesuatu yang sedih seperti ini berlaku dalam dunia golf, kita semua berada dalam keadaan dukacita,” kata PGAM dalam kenyataan itu.

Sebagai tanda penghormatan, pegawai membatalkan pusingan akhir Kejohanan Sanya dan ia menjadi acara 54 lubang.

Arie Irawan bergelar pemain profesional pada April 2013 dan dalam musim berikutnya, beliau menyertai Asian Development Tour (ADT) serta memperoleh kad jelajah bagi Jelajah Asia 2015 selepas menduduki ranking keenam dalam Asian Development Tour’s Order of Merit.

Pada Januari 2015, beliau memenangi acara Official World Golf Ranking buat julung kali pada PGM Sime Darby Harvard Championship dalam siri Asian Development Tour dan dengan kemenangan itu, beliau muncul sebagai pemain ranking tertinggi Malaysia dalam ranking dunia.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melalui posting di Twitter berkata, beliau akan meminta Kementerian Luar membantu untuk membawa balik jenazah Allahyarham. -BERNAMA


Pengarang :