SELANGOR

Penting untuk daftar nikmati air percuma

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LANGAT, 13 APR: Penerima yang layak menikmati subsidi air percuma penting untuk berdaftar terlebih dahulu supaya program berkenaan berjaya diagihkan kepada golongan sasaran.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pihaknya turut menggalakkan pihak penyewa membuat pendaftaran.

“Menerusi langkah ini, kita juga boleh mengeluarkan warga asing yang menyewa sesuatu kediaman untuk tidak lagi menikmati pemberian air percuma ini.

“Kos bagi pemberian air percuma ini sangat tinggi, jadi tidak boleh untuk kita menampung kepada semua pihak, oleh itu ia mesti sampai kepada golongan sasar,” katanya.

Beliau berkata demikian di Sesi Town Hall bersama lebih 100 penduduk dan pemimpin masyarakat di Galeri Jualan IJM, di Rimbayu, malam tadi.

Bagaimanapun, katanya, ia akan dimaklumkan dari masa ke masa secara berperingkat tidak lama lagi.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri dilaporkan tidak mahu membuat sebarang spekulasi berhubung isu air bagi mengelakkan suasana kurang baik.

Program pemberian air percuma kepada rakyat Selangor hanya diberikan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) mulai tahun depan, bukan lagi untuk seluruh isi rumah seperti dinikmati sejak 2008.

Mulai tahun ini, kadar percuma untuk 20 meter padu pertama setiap bulan akan dinaikkan kepada 25 meter padu bagi golongan B40.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)


Pengarang :