Perpaduan kaum kunci kejayaan kerajaan PAKATAN | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Hafizan Taib

Perpaduan kaum kunci kejayaan kerajaan PAKATAN

PUTRAJAYA, 24 APR: Jalinan kerjasama dengan persatuan penduduk, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta dan Rukun Tetangga (RT) antara pencapaian signifikan kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) dalam usaha memperkukuh perpaduan kaum di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy berkata, selain itu, kejayaan mengadakan Konvensyen Orang Asli buat pertama kali juga menjadi pengukur betapa kerajaan baharu ini serius dalam menangani isu semua kaum di Malaysia.

“Pencapaian terbesar kerajaan baharu adalah jalinan kerjasama dengan persatuan penduduk, pihak swasta, NGO dan RT yang sedia ada. Kerjasama ini berkesan dalam memupuk perpaduan di negara ini,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini sempena ulang tahun pertama PAKATAN menubuhkan kerajaan bulan depan.


Berhubung nasib masyarakat Orang Asli, beliau berkata, konvensyen pertama tersebut membuktikan komitmen kerajaan yang serius dalam menangani masalah yang dihadapi oleh masyarakat tersebut.

Sementara itu Waytha berkata, jika sebelum ini hal-hal perpaduan hanya melibatkan kerjasama dengan pihak RT, tetapi kini lebih banyak pihak berkepentingan dilibatkan.

Katanya, ia termasuk kira-kira 8,000 persatuan penduduk yang boleh berperanan menjelaskan mengenai kepentingan perpaduan kepada akar umbi.

“Kita juga sudah berbincang dengan pihak swasta, kita tumpukan kerjasama dengan pusat membeli belah seperti Mydin dan Jaya Jusco untuk membantu kerajaan dalam usaha meningkatkan perpaduan memandangkan kira-kira 30 peratus rakyat Malaysia mengunjungi pasar raya besar pada hujung minggu,” katanya.

Katanya, beliau juga mengadakan libaturus dengan kaum minoriti lain di negara ini seperti masyarakat keturuan Siam, Portugis dan kaum minoriti Sabah dan Sarawak bagi memastikan mereka tidak terpinggir dalam arus pembangunan negara.

Dalam pada itu, katanya, jabatannya juga telah merombak Unit Transformasi Malaysia India atau MITRA bertujuan lebih telus dalam mengeluarkan dana untuk membantu masyarakat India meningkatkan sosioekonomi mereka.

Katanya, pihaknya kini dalam proses menilai permohonan dari NGO untuk agihan dana oleh kerajaan bagi pembangunan masyarakat India negara ini.

Mengulas mengenai cabaran menangani isu perpaduan dan perkauman negara ini, Waytha mengakui isu yang menyentuh sensitiviti kaum lebih berleluasa di laman sosial.

Katanya, terdapat pihak atau kumpulan tidak bertanggungjawab yang sengaja mencetuskan isu tersebut dengan menggunakan akaun palsu.

“Saya bersetuju isu perkauman semakin menjadi-jadi di laman sosial tetapi ia dicetuskan oleh orang tanpa wajah…dengan kemajuan teknologi, saya rasa orang sengaja menimbulkan masalah dengan membuka akaun Facebook (FB) palsu,” katanya.

Beliau berkata kerajaan memandangkan serius perkara tersebut dan Kementerian Komunuikasi dan Multimedia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap perbuatan yang boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara.

SUMBER: BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next