GLOBAL

PRU Thailand: Proses pemilihan semula lancar

BANGKOK, 22 APRIL: Proses pemilihan semula di enam stesen mengundi di lima wilayah Thailand semalam berjalan lancar, namun peratus yang keluar mengundi berada di bawah paras 50 peratus, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (EC) Thailand.

Pesuruhjaya Pilihan Raya Lertwiroj Kowattana berkata pemilihan baru diadakan di enam stesen mengundi semalam- dua di wilayah Lampang, dan masing-masing satu di wilayah Phitsanulok, Yasothon, Bangkok serta Phetchabun, dan jumlah pengundi di setiap stesen adalah antara 400 dan 1,400 orang.

Beliau berkata proses mengundi di semua stesen mengundi yang dibuka dari pukul 8.00 pagi sehingga 5.00 petang (waktu tempatan) itu berjalan dengan lancar tanpa sebarang aduan dari mana-mana pihak.

“Peratus yang keluar mengundi adalah sekitar 40 peratus. Jumlah pengundi yang kecil memang mudah difahami, kerana ia diadakan ketika tempoh cuti yang panjang (cuti Festival Songkran).

Tambahan pula, memang biasanya pemilihan semula sering mencatatkan jumlah pengundi yang kecil yang keluar mengundi,” katanya kepada media semalam.

Pada 4 April, EC mengarahkan supaya diadakan pemilihan semula di enam stesen mengundi dan pengiraan semula jumlah undi di dua stesen susulan angka yang tidak konsisten pada jumlah undi serta daftar pemilih di stesen mengundi berkenaan.

Khamis lalu, EC turut mengarahkan satu lagi pemilihan semula di stesen mengundi di wilayah selatan Chumphon, serta satu pengiraan semula jumlah undi di kawasan pilihanraya Nakhon Pathom di Wilayah Tengah Thailand.

Pilihan Raya Umum Thailand diadakan pada 24 Mac lalu, namun keputusan rasmi pilihan raya itu masih dinantikan kerana EC dijangka akan membuat pengumumannya pada 9 Mei.

-BERNAMA


Pengarang :